Kuala Lumpur City (KL City) bakal menghadapi aksi ketiga mereka dalam saingan Liga Super 2024/2025 dengan Negeri Sembilan bakal menjadi lawan seterusnya dalam misi untuk meraih tiga mata sulung.
KL City ketika ini boleh dianggap sedikit perlahan dalam persaingan Liga Super, selepas mereka masih gagal untuk memungut sebarang kemenangan selepas mengharungi dua perlawanan.
Malah, kelab itu juga gagal untuk meraih slot ke pusingan seterusnya di pentas Piala FA selepas mereka dikejutkan oleh Kuching City pada penentuan masa tambahan beberapa hari lalu.
Hadir dengan reputasi cukup baik selaku naib juara Piala FA pada musim lalu, pasukan ini seolah-olah masih mencari rentak terbaik untuk meraih kejayaan sulung di pentas domestik.
Walaupun memiliki beberapa pemain berkualiti tinggi yang beraksi buat Harimau Malaya seperti Azri Ghani, Declan Lambert, Paulo Josue, serta Haqimi Azim, ianya masih belum cukup buat KL City untuk tampil lebih baik.
Walaupun begitu, KL City sebenarnya berpotensi untuk meraih kemenangan sulung mereka pada musim ini selepas melihat prestasi tidak menentu yang ada pada Negeri Sembilan.
Skuad Hoben Jang Hoben juga ketika ini masih gagal untuk meraih sebarang kemenangan atau seri selepas mereka mencipta kekalahan berturut-turut bersama jumlah bolos cukup besar.
Daripada tiga perlawanan dihadapi, skuad kendalian Azzmi Aziz sudah pun dibolosi sebanyak 11 gol serta hanya merekodkan satu jaringan sahaja.
Keputusan itu sedikit sebanyak memberi imej kurang baik buat Negeri Sembilan yang turut tampil dengan rombakan besar pada musim ini di segenap aspek.
Melihat kepada aksi hari ini, dijangka Miroslav Kuljanac akan terus mengekalkan kesebelasan utama lalu dengan Haqimi Azimi akan menjadi sandaran penting di posisi serangan utama KL City.
Sementara Josue pula akan tampil sebagai pemain sokongan buat Haqimi untuk mendapatkan gol selain kelibat pertahanan utama, Giancarlo Gallifuoco memainkan peranan penting.
Sementara Negeri Sembilan pula, pastinya kelibat Takumi Sasaki akan terus menjadi pertaruhan utama mereka di bahagian serangan selepas pemain dari Jepun itu berjaya menampilkan kualiti permainan sangat menyakinkan.
Apapun, kedua pasukan ini masing-masing ingin mendapatkan kemenangan sulung mereka dan sudah tentu kedua jurulatih mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan kejayaan kelab dilatih sendiri.
Daripada segi kelebihan, KL City mungkin berada di atas menerusi kualiti permainan serta barisan pemain dimiliki untuk meraih kemenangan sulung mengatasi Negeri Sembilan.
Pandangan anda?