“Kiwak ******” – Individu Tiada Adab Berperangai Rasis Terhadap Kenny Pallraj Dibidas

Bola sepak sememangnya sukan yang penuh emosi. Tetapi emosi tidak bertempat sehingga tidak tahu batas sempadan perbuatan adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Itu termasuklah bersikap rasis.

Baru-baru ini seorang individu dengan nama @amirul_azman0 memberikan komen berbaur perkauman terhadap Kenny di akaun Instagram.

Komen tidak beradab itu dilakukan individu tersebut di ruangan komen salah sebuah portal sukan baru-baru ini yang memperlekehkan kejayaan Kenny membantu Kuala Lumpur City (KL City FC) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini.

Komen tersebut dipercayai menjadi respon oleh individu tersebut atas artikel bertajuk “Kenny Pallraj Akui Penghijrahan Ke KL City FC Adalah Keputusan Terbaik Dalam Kariernya.”

Tidak salah untuk tidak bersetuju atau sekiranya mempunyai pendapat berbeza mengenai artikel tersebut. Tetapi cara penyampaian individu tersebut sememangnya tidak boleh diterima di dalam masyarakat, apatah lagi di dalam sukan bola sepak.

“Dah dapat pergi final boleh la cakap macam tu, kiwak *****,” komen lelaki tersebut.

Sukar mempercayai apa yang dibacanya, Kenny turut memuatnaik tangkap layar komen tersebut.

“Manakala di Malaysia, di sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, orang seperti ini masih wujud. Sikap rasis adalah bodoh,” tulis Kenny sebagai respon.

Beberapa ulang ciap terhadap perkongsian Kenny di Twitter turut dilakukan untuk memberikan sokongan kepada Kenny sambil membidas individu tidak bertanggungjawab tersebut.

Untuk rekod ini bukan kali pertama isu rasis terutama daripada penyokong terhadap pemain berlaku di negara ini. Sebagai contoh musim ini, Sabah FC telah membuat laporan polis terhadap seorang penyokong yang membuat komen berunsur penghinaan dan rasis di media sosial terhadap N. Thanabalan.

Mungkin sudah tiba masanya kelab-kelab bola sepak di negara ini bertindak lebih pro aktif dalam membendung sikap rasis di dalam bola sepak, untuk mengelakkannya daripada menjadi kanser.

Di luar negara misalnya, seseorang penyokong yang bertindak rasis sama ada melalui perkataan atau perbuatan boleh digantung seumur hidup untuk hadir menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium.

Leave a Reply