“Kita Tunggu Kunjungan Selangor Ke Darul Aman” – Sanusi Tetap Yakin Kemampuan Anak Buah Aidil Sharin

Selepas permulaan cemerlang menang semua tiga perlawanan sebelum ini, kekalahan 4-1 kepada Selangor FC di dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi tidak memadam keyakinan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor terhadap kemampuan anak buah Aidil Sharin pada musim ini.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum ini tampil cemerlang selepas menewaskan Sarawak United (0-1), Kuala Lumpur City FC (3-2) dan Sri Pahang FC (1-0).

Perlawanan menentang Selangor FC sememangnya dianggap lebih sukar. Ramai yang menjangkakan perlawanan akan berlangsung dengan sengit dan tidak ramai yang menjangkakan Kedah akan tewas dengan jumlah jaringan yang besar. Namun hakikatnya itulah yang berlaku dalam perlawanan tersebut.

Sanusi tetap yakin

Jika ada penyokong Sang Kenari berasa kecewa dengan kekalahan tersebut, semangat sebaliknya ditampilkan oleh Presiden Kedah FA.

“Kedah telah mencuba sedaya upaya tetapi pemain Selangor bermain lebih baik berbanding pasukan Kedah di halaman mereka.

“Kita tunggu kunjungan Selangor ke Darul Aman nanti. Terima kasih pemain dan penyokong KDA FC. Tahniah untuk kedua-dua pasukan,” ujar beliau ringkas.

Kenyataan tersebut mungkin ringkas bunyinya, tetapi ia cukup positif daripada Sanusi.

Berdasarkan kenyataan tersebut, Sanusi sudah tentu mahu melihat Kedah terus bangkit di dalam baki saingan Liga Super pada musim ini.

Sanusi sebelum ini pernah mensasarkan Kedah untuk mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menjelaskan sasaran tersebut tidak mustahil untuk dicapai sekiranya pasukan itu mendapat sokongan sepatutnya daripada semua pihak, terutama daripada aspek kewangan.

Musim masih panjang

Apa yang diharapkan Sanusi sebenarnya tidak mustahil untuk dicapai mengambil kira saingan liga pada musim ini masih lagi panjang.

Selepas tiga kemenangan dan satu kekalahan, Kedah kini menduduki tangga ke-3 MSL.

Namun sekiranya Kedah mahu mengatasi JDT dan bergelar juara MSL musim ini, skuad kendalian Aidil Sharin harus mulai menunjukkan prestasi cemerlang di atas padang sekali gus meraih keputusan positif secara berterusan.

Kedah akan berkunjung ke Stadium Bandaraya untuk berhadapan Pulai Pinang pada 17 April nanti, sebelum terbang ke Kota Kinabalu untuk berhadapan Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN