Baru-baru ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang untuk naturalisasikan dua hingga tiga orang pemain import yang beraksi dalam Liga Malaysia bagi membantu meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi dan juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan badan induk bola sepak negara itu menjadikan bekas pemain Kedah Liridon Krasniqi dan bekas pemain Selangor, Guilherme De Paula berada dalam radar mereka.
Menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara itu jika telah menetap di negara tersebut sekurang-kurangnya dalam tempoh 5 tahun.
Liridon dan De Paula yang telah beraksi selama empat musim dalam Liga Malaysia perlu bermain semusim lagi sebelum layak menjadi pemain naturalisasi negara. Namun begitu, menurut undang-undang perlembagaan Malaysia, warga asing perlu menetap di sini selama 10 tahun untuk mendapat status warganegara yang sah.
Azraai Khor tidak setuju dengan pemilihan Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi sebagai pemain naturalisasi negara
Mengulas mengenai pemilihan dua pemain itu sebagai pemain naturalisasi, bekas jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor berpendapat De Paula terlalu tua manakala Liridon mempunyai sikap yang negatif.
“Saya anggap Guilherme (de Paula) sudah tidak sesuai lagi untuk dipanggil menyarung jersi kebangsaan atas faktor umurnya yang bakal mencecah 33 tahun pada musim depan.
“Sementara itu, Liridon (Krasniqi) pula masih muda dan memiliki teknik bola sepak yang baik tetapi dia dikhabarkan mempunyai sedikit sikap negatif dan masalah disiplin.
“Justeru, apa yang perlu dilakukan oleh FAM sekiranya mahu memancing pemain naturalisasi baharu adalah mencari bakat muda yang menyerlah dalam Liga M untuk tempoh lima tahun seperti Sumareh dan jangan pilih sembarangan ,” katanya kepada Kosmo.
Malah, Azraai juga berharap FAM pilih pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan corak permainan Malaysia berdasarkan pemerhatiannya terhadap aksi Mohamadou Sumareh dalam saingan Piala AFF baru-baru ini.
“Saya lihat Sumareh masih lagi belum memiliki persefahaman bersama rakan-rakan sepasukan. Penting buat pemain naturalisasi baharu negara nanti untuk menyesuaikan diri dengan falsafah dan budaya bola sepak tempatan,” katanya.