Susulan kekalahan pasukan mereka dalam aksi El Clasico awal pagi tadi, penyokong Barcelona mempersoalkan ke mana pasukan mereka ‘hilang’ pada separuh masa kedua. Barcelona mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama. Tetapi permainan tuan rumah bertambah baik pada separuh masa kedua.
Real Madrid menang 2-0 hasil jaringan Vinicius Junior dan Mariano Diaz pada separuh masa kedua. Dengan kemenangan ini, Los Blancos kembali menerajui LaLiga dengan kelebihan satu mata di hadapan Barcelona.
Pengurus Barcelona Quique Setien mengaku anak buahnya gagal mengatasi sistem high pressing yang dibuat Real Madrid dalam kekalahan tersebut.
“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Tapi lain ceritanya pada separuh masa kedua,” kata Setien dalam sidang media selepas perlawanan. “Kami nak gerakkan bola dengan cepat, tapi mereka tak bagi.”
Setien bagaimanapun enggan mengibar bendera putih lagi dalam perlumbaan mengejar kejuaraan LaLiga.
“Keputusan malam ini mengecewakan. Tapi kejuaraan liga masih panjang,” jelasnya dengan penuh optimistik.
Penyokong kritik persembahan separuh masa kedua
Seperti Setien, penyokong Barcelona mengkritik penurunan persembahan yang ditampilkan pasukan mereka pada separuh masa kedua.
“Separuh masa kedua tadi adalah aksi paling teruk pernah kita tunjuk masa lawan Real Madrid. Saya tak boleh ingat balik bila masa kita lepaskan terlalu banyak peluang dan didominasi macam tadi,” kata seorang penyokong Barcelona di media sosial.
Ketika penyokong menyedari tugas pasukan mereka cukup berat tanpa Luis Suarez yang cedera, ia masih tak menjelaskan penurunan ketara kualiti persembahan separuh masa kedua.
“Kita ada main ke masa separuh masa kedua? Saya tahu skuad kita terhad. Messi main teruk. Kita pula tiada Neymar atau Suarez untuk melakukan magik,” luah seorang penyokong Barcelona lain.
“Nak hentikan Messi dah jadi mudah sekarang. Tutup lorong hantarannya. Bentes sebelum dia mula berlari. Itulah yang Casemiro buat tadi.”
Selain Messi, antara pemain yang mendapat hujanan kritikan hebat dari penyokong Barcelona adalah Frenkie de Jong, Arturo Vidal dan Antoine Griezmann.
Pengulas perlawanan Ray Hudson – yang terkenal kerana pujian melampaunya terhadap Barcelona – turut tidak ketinggalan mengkritik persembahan Barcelona.