Kelab yang beraksi di Liga Premier, Kelantan United bakal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak lama lagi dengan mendapat suntikan semangat apabila terbaharu menerima tajaan bernilai RM150,000 daripada sebuah syarikat Jepun.
Ini menjadikan syarikat yang diberi nama KDDI Malaysia Sdn Bhd sebagai syarikat kedua dari Jepun yang menaja kelab ini setelah sebelum itu syarikat minuman pribiotik, Yakult Sdn Bhd terlebih dahulu menjadi penaja Kelantan United.
Program pembangunan bola sepak bakal dilaksanakan syarikat tersebut musim ini bersama Kelantan United selain hanya menaja dari segi sumber kewangan. Memorandum persefahaman (MoU) juga telah dimeterai antara kedua pihak itu yang berlangsung semalam di Hotel Perdana.
Anas Karimi selaku Pengarah Eksekutif Kelantan United menjadi wakil pasukan tersebut selain Masaki Matsuura selaku Pengarah Urusan KDDI Malaysia menjadi wakil syarikat tersebut untuk memeterai memorandum tersebut.
Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz yang merupakan ketua Pegawai Operasi Kelantan United menjelaskan mengenai penajaan tersebut bakal memberi suntikan semangat buat para pemain bagi mengharungi musim ini.
Tambah beliau, Kelantan juga berjaya menambah wang tajaan dengan terbaharu mencecah sebanyak RM2 juta termasuk dalam bentuk tunai.
“Kita kini lebih memilih penaja kerana peruntukkan kepada pasukan naik sekali ganda berikutan KUFC kini mengurus tiga pasukan musim ini.
“Ini termasuk pasukan Piala Presiden dan Piala Belia. Jadi kita cari penaja yang betul-betul dapat bagi komitmen sebab tahun lalu penaja tak dapat bagi komitmen sebab COVID-19,” katanya kepada Berita Harian.
Ketika ditanya mengenai status pemain import baharu, Wan Zul Ikman berkata kelab telah menerima dua pemain import dari Nigeria dan Ghana yang bakal menyertai kem latihan sebaik sahaja selesai menjalani kuarantin. Tambah beliau, kedua pemain tersebut bakal mengukuhkan jentera tengah dan serangan pasukan.
“Mereka akan menjalani ujian kesihatan petang ini dan esok sebelum memulakan sesi latihan bersama pemain lain,” katanya.
Dalam masa sama, pihak KDDI Malaysia iaitu Matsuura melahirkan rasa teruja dengan kerjasama yang terjalin buat pertama kalinya dengan pasukan bola sepak Malaysia setelah diperkenalkan oleh Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.
Jelas beliau, hasil kerjasama Yakult dan Kelantan United sebelum ini memberi keyakinan buat syarikatnya yang berteraskan telekomunikasi untuk turut menjalin hubungan dengan pasukan tersebut selain kehadiran lagenda Jepun, Masashi Motoyama.
“Pada masa akan datang, kita akan fikirkan kerjasama lain dengan KUFC seperti menerapkan unsur teknologi baru seperti penggunaan Augmented Reality (AR) atau kecerdasan buatan (AI) dalam dunia bola sepak,” katanya.
Pada majlis tersebut, selain memperkenalkan penaja baharu, Kelantan United turut mengumumkan mengenai pelantikan Hamada selaku penasihat terhormat kelab.