Pernah tular video penyokong KL City FC menyanyikan lagu dendangan Datuk Shiela Majid, Sinaran, ketika meraikan kemaraan ke final Inter-Zon Piala AFC dan malam tadi sekali lagi mereka mendendangkannya.
Ini selepas mereka sah mara ke final Piala AFC apabila menundukkan wakil Uzbekistan, FC Sogdiana 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan telah terikat tanpa jaringan dalam 120 minit permainan. Menanti mereka di pentas final pada 22 Oktober adalah Al-Seeb dari Oman.
Keraian dan nyanyian lagu itu dilihat berlaku di satu majlis ‘viewing party’ perlawanan antara KL City menentang Sogdiana di MaTic, Kuala Lumpur.
Masih ingat bagaimana kisah lagu nyanyian Bob Marley menjadi lagu tema penyokong Ajax? Adakah situasi yang sama juga dengan lagu Sinaran ini?
Penyokong kelab Belanda itu telah menjadikan lagu ‘Three Little Birds’ sebagai lagu tema mereka. Dan ia telah berlaku secara tidak sengaja.
Segalanya bermula pada 2008 ketika Cardiff City bertemu Ajax dalam aksi terakhir pra-musim mereka di Wales. Selepas perlawanan berkesudahan 0-0, penyokong Ajax diminta untuk tunggu di dalam stadium terlebih dahulu.
Ali Yassine, individu yang bertugas sebagai juruhebah untuk kelab Wales tersebut diminta untuk memainkan muzik sebagai selingan dan beliau memilih untuk memasang lagu ‘Three Little Bird’ nyanyian Bob Marley.
Tanpa disangka-sangka, penyokong Ajax menyanyikan lagu itu beramai-ramai denga penuh bersemangat sambil menari dan bertepuk tangan.
Jadi, bagaimana pula dengan lagu Sinaran dendangan Shiela Majid yang merupakan lagu finalis Juara Lagu 1986? Apa kaitan dengan KL City?
Kenapa penyokong ‘The City Boys’ tidak memilih lagu lain. Lagu berkaitan Kuala Lumpur ini tersangatlah banyak untuk dipilih daripada lagu-lagu malar segar sehinggalah lagu yang sedang menjadi halwa telinga kita kini.
Antara lagu malar segar adalah lagu ‘Senyumlah Kuala Lumpur’ dendangan Alleycats atau ‘Chow Kit Road’ hasil nyanyian oleh Sudirman Arshad.
Lagu-lagu terkini pula seperti lagu ‘Panik di Kuala Lumpur’ nyanyian The Times atau lagu ‘Kotarayaku’ yang dinyanyikan oleh Altimet dan Noh Hujan.
Tentunya lagu Sinaran ini lebih dekat dengan penyokong dan KL City. Untuk mengetahuinya, kita perlu kembali ke musim 2015 – era gelap pasukan.
Menurut penyokong KL City, Hazeem yang ditanyakan Semuanya BOLA mengapa lagu itu jadi pilihan. Ini jawapannya, “Ikonik dan lirik itu sendiri.”
Sinaran x KL City x Piala AFC pic.twitter.com/642ElJcQh5
— Hafiz Omar (@hvfizomvr) October 5, 2022
Pasukan yang dikenali Kuala Lumpur ketika itu baru sahaja kembali ke saingan Liga Premier 2015 dan tentunya penyokong berharap mereka tidak terjerumus semula ke kancah Piala FAM. Namun, selepas 14 perlawanan, ia semakin sukar buat mereka apabila hanya menang tiga kali dan seri dua kali serta tewas dalam baki perlawanan lain. Bagaikan telur di hujung tanduk!
Kemuncaknya adalah pada perlawanan ke-15 menentang Kuantan FA yang mana mereka perlukan tiga mata untuk kekal di saingan Liga Premier.
Kuantan mendahului perlawanan 2-0 dan ini tentunya mengesahkan ‘The City Boys’ bakal kembali ke saingan terbawah Liga Malaysia (Liga M).
Penyokong mereka mengamuk dan menyerbu ke tengah padang. ‘Flare’ turut dibakar dan dibaling ke tengah padang. Perlawanan ditamatkan.
Ia mendapat liputan di media-media tempatan termasuk media elektronik. Tidak mudah buat mereka menerima kekalahan dan turun pangkat lagi.
Lions XII to exit M-League after season ends https://t.co/9WUFDWHcoY
— The Star (@staronline) November 24, 2015
Namun, kekecewaan mereka tidak lama selepas wakil Singapura di Liga M, Lions XII mengumumkan tidak akan bertanding lagi pada musim depan.
Slot mereka di Liga Super telah diisi oleh T-Team (kini Terengganu FC II) dan Kuala Lumpur terselamat dan kekal untuk bersaing di Liga Premier 2016.
Musim 2016 menyaksikan mereka memperbaiki pasukan untuk menjadi lebih baik. Malah mereka menjuarai Liga Premier pada musim 2017 dengan pasukan ditunjangi kapten, Paulo Josue yang masih setia sehingga kini.
Dua tahun selepas insiden menyerbu masuk ke padang, penyokong mereka yang dikenali sebagai CityBoys memuat naik video klip lagu Sinaran yang turut dimuatkan video insiden di Stadium Merdeka pada 2015.
Hari Ahad ni dah macam Hari Raya. Harap tak segan2 nak tumpang. Sekian. pic.twitter.com/Uh5UozXLqW
— CityBoys (@CityBoys12) February 2, 2018
Lagu itu simbolik kepada kejayaan mereka untuk keluar dari era kegelapan pada 2015 yang hampir terjurumus ke Piala FAM seterusnya menjuarai saingan Liga Premier 2017. Sejak itulah, lagu itu menjadi dendangan Ultras Kuala Lumpur setiap kali mereka meraikan kejayaan pasukan kesayangan.
Turut mengindahkan suasana ‘viewing party’ malam tadi adalah kehadiran penyanyi lagu itu sendiri, Datuk Shiela Majid yang dilahirkan di Keramat.
Tahniah KL City kerana mara ke pentas final Piala AFC dan mencipta sejarah tersendiri mereka selepas diswastakan sepenuhnya tahun lalu.