Kisah Skuad Bujang Senang Berentap Menentang Kashima Antlers

Esok juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memulakan kempen AFC Champions League (ACL) musim ini menentang kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers. Mereka merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi dalam saingan kelab kelas tertinggi Asia itu.

Namun, JDT bukanlah pasukan tempatan yang pertama menentang Kashima Antlers kerana pasukan Sarawak pernah menentang juara bertahan ACL tersebut pada tahun 1999 di peringkat suku akhir Asian Cup Winners (sebelum nama kejohanan ini ditukar kepada ACL).

Skuad Bujang Senang ketika itu dibimbing oleh Abdul Jalil Rambli dan dibarisi oleh semua pemain tempatan termasuk 2 pemain bawah 21 tahun iaitu Safri Amit dan Samsul Napiah.

Bagaimanapun, tiada pemain import dalam pasukan ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengharamkan kemasukan pemain import dalam Liga Malaysia.

Manakala Kashima Antlers pula ketika itu bukan calang-calang pasukan kerana dibarisi oleh tiga pemain kebangsaan Brazil dan lima pemain Piala Dunia 1998 Jepun. Malah, mereka dibimbing oleh bekas bintang Brazil, Zico.

Zico sentiasa menjadi inpirasi di Kashima Antlers.
Kalah 2-4 di Kuching

Peringkat suku akhir Asian Cup Winners menggunakan format timbal balik dan Sarawak berpeluang menentang Kashima Antlers di tempat sendiri pada 20 Februari 1999.

Demi persiapan menentang Kashima Antlers, mereka terpaksa menangguhkan rancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Johor dan Singapura kerana masa semakin suntuk.

Sebaliknya, Sarawak menjadikan beberapa kelab yang terkemuka di bandar raya ini sebagai rakan ‘sparring’ latihan untuk menguji kemantapan barisan pemain. Antara kelab-kelab itu ialah Perumahan, Ibraco FC, Stadium FC dan Landas.

”Kita terpaksa menunda perlawanan persahabatan dengan Johor dan Geylang FC dari Singapura seperti yang dicadangkan baru-baru ini disebabkan kesuntukan waktu.

”Tetapi, kita akan meneruskan hasrat itu selepas Sarawak menentang Kashima Antlers nanti,” kata Abdul Jalil Rambli. (Sumber: arkib Utusan Malaysia bertarikh 15/2/1999)

Jalil berkata, perlawanan ujian tersebut adalah untuk meningkatkan tahap kecergasan dan mutu permainan anak buahnya. Mereka berjaya mengalahkan skuad Perumahan 3-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri.

Barisan pemain Sarawak ketika menentang Kashima Antlers. FOTO: Shoot Sampei Bisak Net Tiang Gol Ya

Perkembangan itu memberi tanda yang positif dan mereka mempamerkan kesungguhan yang memberangsangkan sewaktu menjalani sesi latihan.

”Walaupun Sarawak dibarisi pemain lama dan baru namun semangat perjuangan kami tetap kental,” ujar Abdul Jalil Rambli.

Pada hari perlawanan, Sarawak sedikit pun tidak menunjukkan rasa gerun kepada wakil dari Jepun itu sebaliknya mereka melancarkan serangan ke arah gawang gol lawan daripada mula sehingga wisel penamat ditiupkan.

Mereka berjaya menjaringkan 2 gol melalui Nazri Yunus dan Safri Amit manakala Kashima Antlers membawa bekalan 4 gol dari tempat lawan. Walaupun tewas tetapi skuad Bujang Senang menerima pujian daripada penyokong mereka di atas semangat juang yang ditunjukkan di atas padang.

Sarawak dibelasah teruk

Perlawanan suku akhir kedua berlangsung di Stadium J-Village. Ketika itu merupakan pengalaman pertama skuad Sarawak beraksi di Jepun dan mereka langsung tidak bersedia menghadapi keadaan cuaca sejuk yang mencecah sehingga tiga darjah celsius.

Malah lebih mengejutkan ialah Sarawak tidak ada jersi berlengan panjang dan barisan pemain terpaksa memakai dua hingga tiga lapis baju. Situasi itu memberi kesukaran kepada pemain untuk beraksi dengan lebih lancar dan selesa.

Pada hari perlawanan sebenar, mereka terpaksa menanggung kekalahan besar 10-0 sekali gus gagal menempah tiket ke peringkat separuh akhir Asian Cup Winners apabila tewas dengan aggregat 2-14.

Hasrat Bujang Senang untuk menebus kekalahan di gelanggang lawan tidak kesampaian, malah terpaksa menerima hakikat bahawa pintu gol mereka dibolosi dengan jaringan besar sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Tomoyuki Hirase muncul wira apabila menjaringkan empat gol iaitu seawal minit pertama, 42, 87 dan 89. Rakannya, Yoshiyuki Hasegawa turut mencipta nama dengan tiga jaringan minit ke-36, 41 dan 53, Masashi Motoyama, dua gol (69, 79) dan Mitsuo Ogasawara (62).

Abdul Jalil ketika itu menyifatkan masalah kesejukan yang bukan kepalang menjadi faktor utama mengapa anak buahnya terpaksa tunduk kepada Kashima Antlers.

”Jika tidak kerana cuaca yang begitu sejuk, kekalahan Sarawak tidaklah sebegitu besar sehingga 0-10. Para pemain telah menunjukkan permainan yang biasa pada babak pertama perlawanan, tetapi mereka mula hilang rentak pada pertarungan babak kedua,” katanya.

Sarawak telah memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menghasilkan gol tetapi pemain gagal menyudahkan peluang tersebut dengan baik. Semangat juang pemain Sarawak tetap dipuji biarpun ditentang oleh pasukan ternama dalam J-League.

”Mereka telah bekerja keras untuk membuktikan kewibawaan masing-masing. Tetapi, dalam keadaan cuaca yang sejuk, pergerakan mereka tidak begitu lancar,” ujarnya (Sumber: arkib Utusan Malaysia bertarikh 7/3/1999).

Malapetaka di Jepun jadi pengajaran berguna

Untuk pasukan yang berasal dari negara yang mempunyai iklim khatulistiwa dan sentiasa berlatih dalam keadaan cuaca panas terik, mereka sememangnya memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk membiasakan diri dengan cuaca sejuk bukan dua atau tiga hari.

Walaupun menanggung malu yang bukan kepalang para pemain Sarawak tidak cepat mengalah dan berputus asa. Hakikatnya, mereka telah berjaya memberi persaingan hebat dan mampu menyaingi pasukan lawan yang dianggap gergasi walaupun baru dibentuk lebih sebulan.

Malah, Sarawak ketika itu merupakan pasukan pertama yang layak mara ke peringkat suku akhir dalam pentas kejohanan Juara Antara Juara Asia tersebut.

Situasi yang sama turut dihadapi pasukan Perak yang berdepan masalah untuk menyaingi kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai ketika aksi play-off AFC Champions League bulan lalu kerana faktor cuaca sejuk yang mencecah sehingga suhu negatif.

Semua ini memberi pengajaran yang amat berguna kepada pasukan tempatan supaya membuat persiapan lebih rapi dari segi adaptasi dengan keadaan cuaca di tempat lawan. Mungkin selepas ini mereka boleh mengatur aksi pramusim di negara beriklim sejuk seperti Korea dan Jepun.

Kesimpulan

Berdasarkan kisah Sarawak ini, penulis meramalkan satu lagi wakil negara, JDT dijangka tidak mempunyai masalah untuk menyaingi lawan dalam keadaan cuaca sejuk di Jepun kerana mereka sudah pun mempunyai pengalaman menentang Gamba Osaka ketika peringkat play-off AFC Champions League pada tahun 2017.

Aksi Gonzalo Cabrera ketika menentang Gamba Osaka. FOTO: JST

Separuh daripada skuad Harimau Selatan yang dibawa kali ini berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Gamba Osaka dan turut menggunakan jurulatih yang sama mengendalikan skuad JDT ketika itu iaitu Benjamin Mora.

Walaupun tewas 0-3 tetapi ia masih merupakan satu kelebihan kerana mereka mempunyai gambaran sebenar corak permainan kelab dari J-League. Kami di SemuanyaBOLA ingin mengucapkan selamat berjaya kepada JDT dan semoga dapat mengharumkan nama Liga Malaysia di mata Asia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN