Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah peribahasa Melayu menggambarkan sesuatu bakat itu diwarisi turun-temurun oleh sesebuah keluarga.
Ada dari kalangan kita mewarisi bakat seni. Ada juga dari kalangan yang berkepimpinan dalam sesebuah organisasi. Tetapi, bagaimana jika dalam arena sukan?
Sempena Hari Bapa, Semuanya Bola membawa secara eksklusif pasangan bapa dan anak sebagai jurulatih.
Johnson & Johnson
Kami tidak mendapat tajaan untuk mempromosikan jenama di atas! Sebaliknya ia kisah benar antara bapa dan anak. Si bapa, Gary Johnson pernah menguruskan Bristol City dari tahun 2005-10.
Selepas itu, beliau berhijrah ke Peterborough, Northampton, Yeovil dan Cheltenham.
Kini anaknya, Lee berumur 36 tahun mengikut jejak langkah bapanya di Bristol City. Beliau mula menyertai Robins sejak 2016.
Tahukah anda? Bapa dan anak ini pernah dipertemukan dalam perlawanan kompetitif. Pada ketika itu, ia berlaku sewaktu EFL League One 2012-13. Johnson Sr. mengendalikan Yeovil City manakala Johnson Jr. menguruskan Oldham Athletic.
Oldham Athletic memenangi perlawanan tersebut.
Sekurangnya, Bristol City ada sesuatu untuk dibanggakan dengan rekod ini. Malah, Lee pernah menjadi pemain untuk Bristol City sewaktu dikendalikan bapanya.
Nama sama
Sebenarnya pasangan bapa dan anak Johnson bukanlah pasangan pertama yang bertembung dalam saingan liga.
Sebaliknya, rekod istimewa itu dimiliki oleh Bill Dodgin. Tambah unik, mereka mempunyai nama sama. Bill Dodgin Sr. mengendalikan Bristol Rovers. Manakala sang anak, Bill Dodgin Jr. menguruskan Fulham.
Kali terakhir mereka bertemu dalam saingan kompetitif ialah pada 1971. Sumber 11vs11.com memaparkan bahawa Fulham menewaskan Bristol Rovers dalam perlawanan Divison Three (kini, EFL League One).
Namun, kedua-dua mereka sudah pun meninggal dunia.
‘The Ferguson’
Penyokong Manchester United pada awal 1990-an pasti akan kenali nama Darren Ferguson. Ya, anak Sir Alex!
Kami tidak pasti, adakah si bapa menurunkan tip-tip berguna pada Darren. Tapi kami tahu, Darren pun merasai menang trofi di Wembley!
Sebenarnya, ada satu kisah ganjil mengenai Sir Alex. Sekiranya Sir Alex menghadiri mana-mana perlawanan kelab anaknya, pasti kelab anaknya akan tewas. Terutama perlawanan penting!
Malah, Darren dengan beraninya meminta Sir Alex tidak hadir ke Old Trafford untuk perlawanan final play-off League One pada 2011. Darren memberitahu BBC bahawa bapanya tidak kisah. Dan memang Sir Alex tidak hadir dan Peterborough di bawah kendalian si anak menang!
Nota penulis: Berani kau Darren, macamlah kami tak tahu bapa kau itu garang!
Namun, ia telah berakhir apabila Darren membawa Peterborough memenangi EFL Trophy pada 2014. Dan Sir Alex turut hadir ke Wembley!
Paul Dalglish
Ya, anda mesti terus ingat nama King Kenny kan? Benar, anaknya Paul tetapi tidak sepopular Darren Ferguson.
Paul mewarisi kepimpinan bapanya dengan menjadi pengurus Ottawa Fury dalam saingan NASL. Namun, sewaktu zaman permainan Paul Dalglish di Houston Dynamo, beliau menggondol dua kali trofi MLS Cup.
Namun, bila pula untuk Ottawa Fury? Sekurang-kurangnnya ada sesuatu untuk orang kenang ia anak Kenny Dalglish!
Penutup
Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua pembaca yang bergelar bapa. Sebagai bapa, kita kena menyokong apa usaha anak-anak kita. Mereka memerlukan sokongan kita agar maju ke hadapan.
Tapi, sebagai anak, jangan pula kita lupa diri!