Ranking tertinggi Malaysia adalah pada 1993, di tangga ke-75 dunia dan ini menimbulkan pertanyaan, bagaimana kita boleh jatuh teruk ketika ini?
Dalam pengumuman terbaru FIFA, ranking Malaysia telah naik tujuh anak tangga ke kedudukan ke-138 dunia – kembali digapai sejak tahun 2011.
Ia barangkali kedudukan yang lebih baik jika hendak dibandingkan dengan kedudukan selepas 2011 di mana Malaysia pernah berada di tangga ke-178 dunia pada 2018 – terendah dalam sejarah. Ia menghadirkan cacian dan kecaman daripada para penyokong ketika itu. Mengapa ini berlaku?
Ranking terbaik selepas sistem ranking diperkenalkan
Kita kembali kepada tahun 1993, di mana sistem kiraan ranking mula diperkenalkan FIFA. Secara tepatnya, pada Disember 1992 di mana mereka mengeluarkan kedudukan ranking dan bermula Ogos 1993, kiraan ranking secara rasminya bermula. Ia merangkumi 167 negara pada permulaannya.
Pada tahun 1993 Malaysia telah mencapai ranking paling terbaik sejak tahun 90an dengan kedudukan ranking FIFA (75).Di dalam gambar tersebut ialah wira2 yang membawa bendera Malaysia antara pasukan digeruni di Asia ketika itu.Berikut ialah WIRA MALAYSIA 1993 #HarimauMalaya pic.twitter.com/SVrcObtqE9
— Ex Malaysia Football Players (@ex_malaysia) November 22, 2019
Pada awalnya, formula kiraan lebih mudah dan tiada metodologi kompleks. Tiga mata jika menang, seri dapat satu mata dan sifar mata untuk kalah.
Dengan kehebatan skuad kebangsaan pada ketika itu, memang Malaysia berada di ranking yang sangat baik berbanding rakan Asia Tenggara lain.
Malaysia juga dilihat kerap bertemu pasukan-pasukan yang lebih ampuh berbanding ketika Malaysia berada di era kejatuhan. Antara aksi-aksi yang melibatkan Malaysia di sekitar tahun 1993 itu adalah bertemu Iraq, Korea Selatan, Kuwait, Uzbekistan, Arab Saudi, Oman, China dan Australia.
Bermula dengan kedudukan ke-91 dunia pada Disember 1992, Harimau Malaya memanjat naik sehingga ke kedudukan terbaiknya – ke-75 dunia.
Selepas formula kiraan ranking diubah pada 1999, Malaysia semakin jatuh dari kedudukan itu, namun masih berlegar di ranking bawah ke-140 dunia. Formula menjadi semakin kompleks tetapi dikatakan menepati prestasi pasukan dengan menjadikan proses kiraannya lebih menyeluruh.
Skandal rasuah 1994 antara pemangkin kejatuhan?
Malaysia kehilangan lebih 80 pemain dan jurulatih ketika pendedahan skandal rasuah dibuat selepas lebih 100 daripadanya disoal siasat polis.
“Saya orang pertama yang membuat laporan polis berhubung gejala rasuah dalam bola sepak yang berlaku sekitar tahun 1994 dan 1995 di negara ini,” ungkap bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.
Ketika itu beliau menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan telah melakukan siasatan sendiri secara dalaman.
Apabila terbukti terdapat unsur rasuah di kalangan pemainnya, beliau melaporkannya kepada pihak berkuasa dan hasilnya, seluruh negara berantakan. Satu demi satu kisah rasuah didedahkan dan telah membawa kepada skandal besar dalam saingan Liga Malaysia pada ketika itu.
Adakah ia ada kaitan dengan kedudukan ranking Malaysia? Benar, sedikit sebanyak ia memberi kesan. Malaysia kehilangan bakat-bakat hebat ketika itu antaranya Malek Rahman yang merupakan antara bintang sensasi skuad negara yang menumpaskan Korea Selatan di Pestabola Merdeka 1993.
‘Magic Boy’, Azizol Abu Haniffah turut terkena tempiasnya. Arkitek skuad kebangsaan itu turut digantung oleh FAM atas sebab skandal tersebut.
Selain itu, Matlan Marjan juga antara pemain yang telah didapati bersalah.
Jadi, Malaysia kehilangan beberapa tonggak yang membentuk keampuhan Harimau Malaya dan Malaysia semakin hilang sentuhan. Pada 1994 dan 1995, ranking Malaysia berlegar antara tangga ke-75 hingga ke-95 dunia.
Pada 2016, FAM telah mengampunkan 78 pemain yang terlibat dengan skandal tersebut dan dibenarkan kembali terlibat dengan bola sepak.
Kebetulan ataupun tidak, tahun 1993 adalah ranking terbaik negara dan skandal berlaku pada 1994 yang mungkin sebenarnya memberi impak.
Sistem kiraan ranking berubah lagi pada 2006
Sebelum kajian semula dan pelaksanaan sistem kiraan baharu pada tahun 2006, sistem kiraan pada 1999 hingga 2006 adalah secara ‘imbangan’ – mengambil kira ranking sebelum perlawanan kedua-dua pasukan terlibat, ‘home-away advantage’, skor perlawanan dan kepentingan perlawanan.
Pada 2006, FIFA mengumumkan kaedah baharu kiraan yang mengambil kira tempoh empat tahun berbanding lapan tahun. Ia dikenali sebagai sistem ‘purata’ di mana mata setiap aksi akan dibahagi dengan jumlah perlawanan dalam tempoh 12 bulan, minimum 5 perlawanan jika kurang.
Antara faktor kiraan yang digugurkan adalah ‘home-away advantage’ dan skor perlawanan. Malaysia sedikit terkesan dengan sistem tersebut.
Mengapa? Majoriti aksi Malaysia ketika itu adalah Piala AFF yang mana hanya dianggap sebagai aksi persahabatan. FAM kurang mengadakan aksi berdepan pasukan terbaik, malah Pestabola Merdeka yang merupakan antara kejohanan jemputan tertua di Asia juga kian terpinggir.
FAM lebih gemar melayan kunjungan kelab-kelab luar negara terutamanya dari Premier League berbanding mengadakan aksi kompetitif kelas A.
Jika ada pun, pasukan seperti Maldives, Sri Lanka dan Nepal kerap menjadi ‘pujaan hati’ mereka untuk dipanggil menjadi lawan skuad kebangsaan.
Ini yang tidak membantu skuad negara memperbaiki ranking, malah terus menjunam. Hanya beberapa negara yang memanfaatkan perubahan cara kiraan mata ini antaranya India yang kini berada di tangga ke-101 dunia.
Selain India, negara seperti Wales, Belgium, Romania dan Switzerland turut menggunakan kelebihan yang ada berdasarkan kaedah kiraan tersebut.
India telah melantik seseorang untuk menjadi Penasihat Ranking mereka dan berjaya menemui kelemahan dalam formula yang diperkenalkan.
Mereka berjaya memanipulasikan formula itu untuk mendapat ‘boost’ terhadap kiraan mata dan ranking mereka sehingga berada di kedudukan sekarang, waima FIFA telah mengubah sekali lagi formula kiraan pada 2018.
Formula ini dikenali sebagai SUM, berdasarkan sistem rating ELO dan mengakhiri kelemahan sistem sebelumnya. Untuk daki tangga, pasukan perlu tewaskan pasukan yang lebih tinggi ranking selain perlu menang dalam aksi-aksi kelayakan atau kejohanan benua masing-masing.
Dan perlu elak tewas kepada pasukan lemah dalam perlawanan penting.
Oleh sebab itu, India kekal berlegar di ranking dan tidak jatuh mendadak.
Sementara FAM mungkin baru bangun dari lena yang panjang. Melalui pendedahan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, Harimau Malaya sedang memburu pasukan yang berkualiti untuk aksi-aksi persahabatan.
“Kita sedang merancang perlawanan yang kompetitif. Untuk itu, kita telah menghantar banyak surat jemputan dan mencari pasukan-pasukan yang kuat [untuk persahabatan],” ujarnya di sidang media ulang tahun pertamanya.
Ketelitian gerak kerja Kim telah membantu Malaysia melonjak sedikit ranking sejak beliau mengambil alih dan kini di tangga ke-138 dunia.
Diharapkan Malaysia akan terus mendaki kedudukan terbaik dalam ranking FIFA walaupun kita sedar, sukar untuk kita kembali ke tangga ke-75 lagi.
Ranking Harimau Malaya | 6 April 2023
Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia di tangga 138 dunia, berjaya melonjak naik 7 anak tangga berbanding 145 pada kemas kini terdahulu, 22 Dis 2022.
* Kemas kini seterusnya 20 Julai 2023#FAM #HarimauMalaya #FIFARanking pic.twitter.com/qVNA7CQDNi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 6, 2023