Kali ini kita imbas kembali kisah sebuah kelab lagenda, Portsmouth yang pernah bergelumang dengan hutang puluhan juta. Tunggakan gaji pemain dan pegawai yang kritikal yang membawa kepada pelbagai masalah lain.
Mereka juga gagal membayar cukai. Membuatkan segala aset dan pentadbiran mereka disita dan dibekukan. Lebih buruk lagi apabil Portsmouth turut disahkan tersingkir dek kerana pemotongan 9 mata.
Mereka cuba menyelamatkan kelab dengan menjual beberapa pemain yang bergaji tinggi dan juga masih ada harga di pasaran. Namun ia masih tidak cukup lagi.
Piala FA 2008
Pada 2008, mereka memenangi Piala FA di stadium bersejarah Wembley. Kejuaraan pertama sejak 1939 untuk kelab mereka.
Ketika mereka memenangi kejuaraan itu, pengurusan Harry Redknapp tidak dibebani dengan isu pembayaran gaji yang terlalu tinggi.
Mereka juga beraksi di pentas Eropah dan menjadi antara pasukan yang digeruni di England dengan status ‘giant killer’. Ramai menjangkakan hari mereka menjulang Piala FA itu, adalah langkah besar kepada sesuatu yang lebih besar.
Hutang meningkat mendadak
Setahun kemudian, pada Mei 2009, hutang mereka meningkat kepada £70 juta. Ini membuatkan kelab ini disenarai jual oleh pemilik ketika itu, Alexander Gadyamak.
Hutang ini lebih kerana sikap pemilik yang tidak ambil serius untuk membayarnya lebih awal. Mereka sengaja membiarkan hutang bertimbun.
Satu kumpulan penyokong mulai mengesyaki kelab ini bakal muflis dan mulai menubuhkan Yayasan Penyokong. Namun mereka lega selepas ada pembeli yang mahu mendapatkan Pompey.
Individu itu adalah Sulaiman Al-Fahim, seorang jutawan dari Dubai. Namun malangnya, selepas pembelian itu, masalah hutang itu hanya dikurangkan sedikit sahaja.
Al-Fahim sendiri jarang sekali datang ke kelab tersebut apatah lagi ke stadium. Masalah hutang dan tunggakan gaji pemain dan pegawai terus kritikal.
Ini menyebabkan beberapa pemain seperti Peter Crouch, Glen Johnson, dan Sylvain Distin dijual.
Pada Februari 2010, mereka gagal melangsaikan cukai lebih daripada £2 juta. Membuatkan pada Mei 2010, mereka dipotong mata dan sah tersingkir ke Liga Championship.
Pada Oktober 2010, pengurusan kelab membuat kenyataan kemungkinan kelab tersebut akan dibekukan oleh pihak berkuasa.
Namun kali ini pemilik baru datang menyelamatkan mereka iaitu Vladamir Antonov melalui agensi Sports Initiative. Antonov dilaporkan memiliki kekayaan sekitar $300 juta.
Beliau usahawan Russia yang sudah lama menetap di London. Namun begitu, terdapat keraguan di atas kekayaan Antonov dan aset beliau dirampas oleh sebuah bank di Lithuania.
Ia memberikan impak sangat besar kepada Portsmouth. Ini juga menyebabkan kelab ini telah dibekukan dan diiktiraf muflis pada 2011 kerana beban hutang dan cukai tertunggak.
Kisah penyokong luar biasa
Pada 2012, Yayasan Penyokong mereka mulakan langkah untuk menyelamatkan kelab tersebut.
Mereka berjaya mengumpul sekitar £4.1 juta dengan 2,400 penyokong luar biasa mereka menyumbang £1,000 setiap seorang untuk menyokong Yayasan Penyokong dalam usaha pegambilalihan kelab.
Pada Julai 2012, pemansuhan kelab ini semakin pasti dan Yayasan Penyokong terus mencari jalan untuk menyelamatkan kelab mereka.
Antara yang memberi kelegaan kepada mereka adalah nilai pasaran Tan Ben Haim yang berjaya dijual ke kelab lain. Ben Haim adalah pemain yang bergaji paling tinggi ketika itu dengan £36,000 seminggu.
Mereka turut menebus kontrak staf-staf yang bergaji tinggi dengan membayar pampasan untuk menamatkan khidmat mereka. Ramai staf staf dan jurulatih ini menggunakan kuasa budi bicara/atas persetujuan bersama menerima pampasan yang lebih rendah daripada sepatutnya.
Ia telah beraya memulihkan sedikit keadaan ketika itu. Namun mereka tahu mereka tetap ada cabaran besar pada jagka panjang.
Pada Oktober 2012, Yayasan Penyokong melancarkan bidaan untuk memiliki kelab. Da mereka berjaya memiliki kelab itu pada 15 November 2012.
Mereka ketika itu berada di League 1 dan memulakan liga dengan defisit 10 mata. 23 perlawanan diharungi tanpa kemenangan.
Mereka kemudian tersingkir ke League 2. Mereka pernah 2 mata di zon penyigkiran League 2. Liga divisyen ke-4 dalam bola sepak Inggeris.
Mujurlah pada beberapa perlawanan terakhir mereka bangkit dengan 5 kemenangan berturut-turut.
Pada 2016/17, mereka berjaya bangkit untuk layak ke League 1. Misi mereka seterusnya adalah ke Liga Championship.
Pada 3 Ogos 2017, pemilikan oleh Yayasan Penyokong Portsmouth berakhir apabila mereka berjaya mendapatkan pemilik baharu. Portsmouth dijual kepada syarikat pelaburan, The Tornante Company yang dimiliki bekas CEO Disney, Michael Eisner.
Dan pada Mac 2019, Portsmouth menjulang trofi pertama mereka selepas era kejatuhan iaitu Trofi EFL dengan menewaskan Sunderland.
Konklusi
Apa yang boleh kita pelajari adalah, kegagalan mereka menguruskan kontrak pemain dengan betul. Mereka tidak melakukan urusan jual beli yang sepatutnya.
Untuk kelab seperti Portsmouth mereka harus menjual beberapa pemain yang bergaji mahal sekiranya berhasrat untuk mendapatkan bintang baru.
Portsmouth mengulangi kesilapan Leeds United dengan memberikan gaji terlalu tinggi kepada staf-staf yang mereka kategorikan sebagai elit untuk membantu mereka menjadi kuasa bola sepak baru.
Di tingkat paling atas adalah, mereka 3 kali dimiliki orang yang teruk dalam ekonomi-bola sepak. Mereka menjadi pasukan EPL yang pertama dipotong mata dalam sejarah. Mereka juga dipotong 10 mata ketika di League 2.
3 penyingkiran dalam masa 4 tahun. Semuanya kerana kegagalan pengurusan kewangan.
Mujurlah mereka ada penyokong luar biasa! Jika tidak, nama Portsmouth sudah bersemadi dan hilang dari dunia bola sepak.
Pemilik dan pemain bintang sentiasa datang dan pergi. Tetapi penyokong akan tetap setia bersama kelab selamanya.
Dalam kes penyokong Portsmouth, mereka adalah penyokong luar biasa dan menunjukkan betapa sayangnya mereka kepada pasukan mereka.
Mereka menyelamatkan kelab mereka daripada lenyap. Jadi, laungan ‘Portsmouth Sampai Aku Mati’ itu bukan sekadar retorik.