Kisah Pasukan Selangor Yang Begitu Hampir Bergelar Juara Asia Sebelum Dinafikan Kelab Israel

Pentas Asia kini mulai menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air selepas kejayaan JDT melangkah ke pusingan kalah mati pertandingan AFC Champions League (ACL).

Diletakkan bersama kumpulan gergasi Asia lain seperti Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC, JDT pada mulanya dianggap sebagai pasukan kerdil – walaupun berstatus tuan rumah.

Apa tidaknya. Ketiga-tiga kelab yang diundi bersama di dalam Kumpulan I itu pernah sekurang-kurangnya bergelar juara Asia sebanyak dua kali.

Penyertaan JDT di pentas Asia yang dianggap sebagai ‘setahun jagung’ pula menyaksikan cabaran mereka sebelum ini terkandas di saingan peringkat kumpulan.

Sejarah pertandingan kelab Asia

AFC Champions League atau pertandingan kelab-kelab elit Asia sebenarnya bermula pada 1967. Pada ketika itu, pertandingan tersebut dikenali sebagai Asian Champion Club Tournament.

Ia adalah pertandingan tunggal di antara kelab-kelab Asia pada ketika itu – bermakna Sang Juara akan bergelar Raja Bola Sepak Asia.

Seperti mana ACL, Asian Champion Club Tournament turut dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Bagaimana pun penganjuran pertandingan tersebut hanya kekal sehingga 1972.

Pelbagai halangan ditempuhi oleh AFC untuk menganjurkan pertandingan peringkat kelab di kalangan negara-negara Asia pada ketika itu.

Kos adalah salah satu daripadanya, dan setiap pasukan yang mengambil bahagian terpaksa melalui perjalanan yang jauh.

Selain itu, sengketa politik turut membuatkan kelab-kelab bertanding menarik diri. Pertandingan tersebut terpaksa dibatalkan selepas edisi 1972 selepas kelab Arab memboikot dan membantah penyertaan kelab dari Israel yang masih bernaung di bawah AFC pada ketika itu.

Pertandingan kelab-kelab Asia bagaimana pun dimulakan semula pada 1985 dan ianya dikenali sebagai Asian Club Championship. 5 tahun kemudian AFC memperkenalkan pula Asian Cup Winners’ Cup – khusus untuk pemenang trofi domestik di kalangan negara-negara Asia.

Juara Asian Cup Winners’ Cup akan menentang juara Asian Club Championship di dalam perlawanan tunggal yang digelar Asian Super Cup. Mempelbagaikan pertandingan dan perlawanan pada ketika itu adalah sebahagian daripada usaha AFC untuk merancakkan pertandingan di antara kelab-kelab elit di Asia.

Pada 2002, AFC Champions League pula diperkenalkan untuk menggantikan Asian Club Championship. Manakala Asian Cup Winners’ Cup pada hari ini lebi menyerupai AFC Cup/Piala AFC.

Dan sejak 2002, ACL telah melalui pelbagai perubahan format sehingga seperti pada hari ini – melibatkan 40 pasukan terbaik Asia.

Selangor wakil pertama negara

Selangor sememangnya sebuah kelab yang kaya dengan sejarah bola sepak di negara ini.

Dan pasukan yang begitu sinonim dengan warna merah- kuning itu juga sebenarnya adalah wakil pertama negara bertanding di kalangan kelab-kelab elit Asia di edisi pertama Asian Champion Club Tournament pada 1967.

Pada edisi pertama pertandingan kelab-kelab Asia itu, sepatutnya lapan pasukan dijadualkan mengambil bahagian.

Selangor adalah wakil dari Malaysia, manakala Vietnam Customs pula mewakili Vietnam. Pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian adalah South China (Hong Kong), Bangkok Bank FC (Thailand), Korea Tungsten Company (Korea Selatan), dan Hapoel Tel Aviv (Israel).

Selangor di Asian Champion Club Tournament 1967.

Dua lagi pasukan, iaitu kelab dari India dan Iran menarik diri, bermakna pertandingan yang diadakan secara berpusat di Bangkok itu terpaksa diteruskan dengan hanya enam pasukan dengan format kalah mati.

Disebabkan penarikan diri dua pasukan, maka Korea Tungsten Company dan Hapoel Tel Aviv memperolehi bye pada pusingan pertama.

Selangor yang beraksi dari pusingan pertama menewaskan Vietnam Customs 2-1 sebelum menewaskan wakil tuan rumah, Bangkok Bank FC 1-0 pada pusingan kedua.

Di separuh akhir, Selangor menyingkirkan wakil Korea Selatan, Korea Tungsten Company dengan jaringan 0-1.

Skuad Hapoel Tel Aviv di Asian Champion Club Tournament 1967.

Perjalanan Selangor di pertandingan edisi pertama kelab-kelab Asia itu bagaimana pun berakhir sebagai naib juara selepas tewas kepada Hapoel Tel Aviv dengan jaringan 2-1 di perlawanan akhir.

Walaupun gagal memenangi pertandingan kelab-kelab Asia edisi sulung tersebut, Selangor boleh berbangga pada ketika itu kerana mengharungi perlawanan daripada pusingan pertama.

Manakala lawan mereka di separuh akhir dan perlawanan akhir hanya beraksi satu perlawanan kerana mendapat bye di peringkat awal.

Rumusan

Sudah tentu apa yang dilalui oleh Selangor pada 1967 jauh sekali berbeza dengan apa yang dicapai oleh JDT pada hari ini. Bola sepak moden pada hari ini bukan sekadar menuntut keazaman. Ia juga memerlukan kepakaran, iltizam, dan kerja keras yang boleh diterjemahkan kepada kejayaan pasukan.

Namun jika ada perkara yang kita boleh pelajari daripada penyertaan kedua-dua pasukan – walaupun zaman berbeza – ialah pasukan kita juga sebenarnya mampu bersaing di peringkat tertinggi Asia, dengan syarat pasukan-pasukan ini harus berusaha keras dan melalui proses yang betul.

Sudah tentu kita ingin melihat lebih banyak pasukan dari Liga Malaysia tampil memberi cabaran di pertandingan kelab-kelab Asia pada masa hadapan. Dan semoga impian kita itu menjadi kenyataan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN