Nokia N-gage merupakan antara peranti telefon mudah alih yang sangat popular satu ketika dahulu – terutamanya di kalangan ‘gamers’.
Pada 7 Oktober 2003, Nokia dan Electronic Arts (EA) telah mengumumkan kerjasama. Menerusi kerjasama ini Nokia dan EA telah mewujudkan permainan FIFA 2004 versi ‘mobile’ yang lebih realistik pada ketika itu.
EA mengukuhkan lagi nama dan produk mereka menerusi FIFA Soccer/Football 2004 selepas permainan tersebut tersedia dalam konsol Microsoft Windows, PlayStation 2, Xbox, GameCube, PlayStation, dan Game Boy Advance.
Dalam pengumuman mereka, EA dan Nokia berjanji para peminat permainan tersebut akan menikmati grafik stadium 3D, permainan head-to-head secara multiplayer menggunakan sambungan bluetooth.
Pengarah Penerbitan Permainan, Hiburan dan Media Nokia – Pasi Polonen berkata: “FIFA Football 2004 adalah permainan video yang mendapat permintaan [wish-list] sangat tinggi di peringkat global.”
“Seiring dengan kemampuan teknologi telefon kami, Nokia N-Gage yang merupakan dek permainan – ini akan membolehkan para pemain di seluruh dunia bertarung mendapatkan kejuaraan dengan cara baru. Permainan ‘multiplayer’ akan disambungkan secara terus menerusi bluetooth – teknologi tanpa wayar.”
“Kehebatan grafik juga akan membuatkan para pemain FIFA Football 2004 – Nokia N-gage akan rasa teruja. Ini juga akan membuatkan mereka menikmati pengalaman bola sepak paling lengkap dan nyata.”
Nokia dan EA Sports mengumumkan bahawa para pemain FIFA Football 2004 akan menikmati 6,000 pemain sebenar dengan 300 pasukan rasmi tersedia. Ini akan membolehkan para pemain mencipta sejarah dalam karier mereka.
Seterusnya FIFA Football 2004 juga menawarkan cabaran skil kepada para pemain.
Kerjasama ini telah mengukuhkan lagi jenama Nokia ketika itu sebagai telefon yang menjadi pilihan para remaja dan belia.
Ketika kerjasama itu diumumkan, EA Sports baru mengumumkan keuntungan tahunan untuk 2003 sebanyak $2.5 billion.
Nokia N-gage pula merupakan peranti yang digelar dek permainan. Mereka menjadi pencetus penting kepada pengusaha dan pencipta permainan video untuk telefon. Selain daripada permainan menerusi sambungan Bluetooth, para pemain juga boleh menggunakan GPRS (harga sangat mahal ketika itu).
Selepas kejayaan tersebut, EA Sports dan Nokia N-gage meneruskan kerjasama mereka dalam permaina FIFA Football 2005 dan kemudiannya FIFA Football 09.
Dalam FIFA 2005, banyak penambahbaikan dilakukan termasuk grafik dan juga skil pemain.
Dalam FIFA 09, para pengguna Nokia N-gage diberikan permainan yang lebih baik.
Ketua Studio EA Mobile Europe, Chris Gibbs berkata: “Kami teruja untuk membawakan FIFA 09 ke platform N-gage. Permainan yang lancar dan grafik yang fantastik akan dipaparkan dalam Nokia N-gage. Ianya juga memiliki komuniti yang unik di N-gage Arena.”
Pengarah Penerbitan Pihak Ketiga Nokia – Gregg Sauter berkata: “FIFA 09 adalah permainan video yang paling kompleks pernah dihasilkan. Dan Nokia teruja untuk membawa permainan ini kepada komuniti N-gage di seluruh dunia.”
“Ianya permainan yang ada 2 separuh masa – ultra realistik dalam kawalan, menggabungkan kemampuan serta skil anda dalam pertarungan dengan rakan anda di N-gage Arena.”
Dalam FIFA 09 versi mobile – Nokia dan EA Sports mengumumkan lebih 100 pasukan daripada liga EPL, Serie A, La Liga, Bundesliga 1 dan Ligue 1.
Permainan FIFA 09 antara permainan yang membuatkan ramai ketagihan. Dimasukkan lebih skil seperti step over, roullete serta hantaran lolos.
Pemain N-gage Arena boleh mengikuti perkembangan terkini para pemain lain di seluruh dunia. Terdapat juga statistik seperti mata karier, jumlah kemenangan, jumlah kad dan banyak lagi.
Para gamers juga boleh membantu merawat pemain, membangunkan kemampuan pemain, meningkatkan stamina dan macam-macam lagi.
Itu antara kisah kerjasama gemilang antara EA Sports dan Nokia N-gage satu ketika dahulu. Ianya menjadi platform penting untuk EA Sports bergerak maju dalam menghasilkan permainan video untuk telefon pintar pada hari ini.