Kira-kira 66 tahun yang lalu, skuad bola sepak Indonesia layak beraksi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia selepas lolos kumpulan 1 pusingan pertama.
Selepas diundi untuk ditempatkan dalam satu kumpulan dengan Israel, Sudan dan Mesir. Jika berhasil melepasi peringkat ini, skuad Garuda berpeluang besar untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia 1958 yang berlangsung di Sweden.
Kisah Indonesia Relakan Tiket Piala Dunia untuk Bela Palestina
Presiden pertama Indonesia, Soekarno adalah salah satu tokoh internasional berpengaruh yang sangat anti Israel. Baginya tak ada kompromi selama Israel masih menjajah Palestina.
📷 : Historia pic.twitter.com/b9V3h2bEzf
— Good News From Indonesia (@GNFI) May 11, 2021
Akan tetapi, Indonesia telah bertindak mengorbankan peluang emas tersebut kerana memilih untuk menolak menentang Israel. Ia adalah kerana ketegasan pemimpin utama Indonesia iaitu Presiden Soekarno.
Dalam satu acara peringatan Hari Sumpah Pemuda di Istora Senayan, Jakarta, Soekarno menyatakan ketegasannya bahawa Indonesia tidak akan sesekali bermain bola sepak dengan Israel sehinggalah Palestin merdeka.
Dengan penarikan diri Indonesia, FIFA memutuskan Israel untuk mara ke pusingan play-off menentang Wales yang menamatkan saingan pusingan kelayakan zon Eropah di posisi kesembilan. Wales berhasil ‘menghajar’ Israel dan mara ke pusingan akhir.
Apa yang lebih menarik adalah keputusan Soekarno itu yang telah membangkitkan penghormatan oleh dunia antarabangsa terhadap Indonesia kerana ia telah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin.
Hari ini polemik mengenai hubungan Indonesia-Israel sekali lagi menjadi isu hangat selepas beberapa pihak mendesak agar Israel tidak diizinkan untuk menyertai saingan Piala Dunia B-20 2023 yang akan bermula pada 20 Mei ini di Bali.
Antara pihak yang bersuara adalah Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang meminta pihak pemerintah bersikap tegas dan tidak membuka pintu buat skuad kebangsaan Israel.
Pendirian Soekarno terhadap Israel jelas. Beliau menolak sebarang hubungan dengan negara
Semasa penganjuran Sukan Asia 1962 di Jakarta, Soekarno sekali lagi menolak keras penyertaan Israel, apatah lagi membenarkan atlet dari ‘negara haram’ tersebut untuk menjejaki tanah Indonesia.
Soekarno, sepanjang tempoh memegang tampuk pemerintahan Indonesia terlibat dengan setiap deklarasi anti-Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga forum-forum antarabangsa yang lain.
Dukungan Soekarno terhadap pembebasan Palestin dizahirkan secara konsisten termasuklah dalam satu pidatonya pada 1962.
“Selagi kemerdekaan bangsa Palestin belum diserahkan kepada orang-orang Palestin, maka selagi itlah bangsa Indonesia berdiri menentang penjajahan Israel,” tegas Soekarno.
Presiden RI pertama Ir. Soekarno pernah menyampaikan : "Selama kemerdekaan bangsa Palestina belum diserahkan kepada orang-orang Palestina, maka selama itulah bangsa Indonesia berdiri menentang penjajahan Israel."#SaveAlQuds#WeStand4AlQuds#MenangkanAlquds pic.twitter.com/JkHJmWXkib
— 🄸🄽🄺 (@ibf1311) June 7, 2020
Sokongan Indonesia terhadap Palestin tidak ‘bertepuk sebelah tangan’. Sebaliknya kedua-dua negara ini ternyata mempunyai hubungan yang amat istimewa.
Setahun sebelum kemerdekaan Indonesia, pada 6 September 1944, mufti besar Palestin, Syeikh Muhammad Amin Al-Husaini memberikan dokongan secara terbuka bagi perjuangan rakyat ke arah kemerdekaan.
Setelah merdeka, Indonesia yang memerlukan pengakuan sebagai negara berdaulat menerima sokongan daripada Mesir dan Palestin pada 1947. Seterusnya pada 14 Mei 1948, Indonesia menolak proklamasi negara Israel oleh David Ben-Gurion kerana menganggap ianya telah merampas tanah rakyat Palestin.
Israel beberapa kali berusaha untuk memulakan titik perhubungan dengan Indonesia. Pada Januari 1950, Menteri Luar Israel, Moshe Sherett telah mengutus pesanan kepada Wakil Presiden, Mohammad Hatta mengenai pengakuan penuh Israel terhadap kedaulatan Indonesia, namun ia hanya dibalas dengan ucapan terima kasih tanpa menawarkan hubungan diplomatik.
Seterusnya usaha Israel untuk menghantar misi muhibah ke Indonesia telah ditolak. Segala usaha bagi hubungan ekonomi dan perdanganan antara kedua-dua negara juga tidak pernah mendapat respon positif daripada Soekarno.
Kemudian ketika menganjurkan Persidangan Asia Afrika pada April 1955 di Bandung, Indonesia telah bertindak menolak penyertaan Israel, sebaliknya Soekarno telah menjemput pejuang Palestin, Yasser Arafat untuk menghadirinya.
Wajarkah Israel disekat menyertai Piala Dunia B-20 2023?
Kementeria Luar Negeri (Kemenlu) Indonesia dalam kenyataannya menegaskan dukungan Indonesia terhadap kemerdekaan Palestin kekal konsisten dan tidak pernah luntur.
“Saya ingin tegaskan kembali bahawa pendirian Indonesia konsisten dan akan tetap konsisten,” ujar Teuku Faizasyah, jurucakap Kemenlu dalam sidang media pada 10 Mac lalu.
“Dalam hal ini, status tuan rumah Indonsia di B-20 ini tidak akan menggoyahkan sedikit pun pendirian konsisten Indonesia terhadap Palestin.”
Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohor pula berharap urusan bola sepak tidak dicampur dengan isu politik dan menjamin keselamatan skuad kebangsaan Israel sepanjang kejohanan.
Kementerian Pemuda dan Olahraga (Kemenpora) pula dalam responnya menjelaskan selepas Indonesia bersetuju untuk menjadi tuan rumah, pihak pemerintah tidak boleh secara sebarangan menolak penyertaan skuad kebangsaan Israel.
“Kalau kita nak jadi tuan rumah Piala Dunia B-20, kita harus ikuti peraturan FIFA. Salah satunya adalah kita harus menerima semua negara lolos pusingan kelayakan tanpa diskriminasi,” ujar Ketua Setiausaha Kemenpora, Gatot S Dewa Broto.
Tambah Gatot lagi, pihak pemerintaj juga harus menjaga hubungan diplomatik dengan negara-negara lain yang terlibat dalam pertandingan tersebut.
Justeru itu, beliau berharap masyarakat Indonesia dapat membezakan antara isu politik dan sukan.