Quantcast

BERITA

Kisah Jamie Vardy Sebagai Inspirasi, Nabil Ahmad Latpi Enggan Persia Peluang Terhidang

Menjadikan penyerang antarabangsa England Jamie Vardy sebagai sumber inspirasi, Mohamad Nabil Ahmad Latpi mahu menggunakan peluang sebaik mungkin bersama Terengganu FC (TFC).

Selepas aksi cemerlangnya bersama kelab amatur daripada Liga M3, pemain berusia 27 tahun itu mengorak langkah menyertai pasukan Liga Super TFC pada jendela kedua perpindahan pemain awal bulan ini.

Sama seperti Vardy yang beraksi dengan kelab bawahan, Fleetwood Town sebelum membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris 2015-2016, Nabil juga menyimpan cita-cita tinggi.

Bagi pemain kelahiran Pendang, Kedah itu, dia percaya peluang yang diberikan oleh jurulatih TFC Irfan Bakti Abu Salim ibarat ‘talian hayat’ kedua dalam kariernya selepas diketepikan PDRM pada 2018.

“Selepas tidak bersama PDRM, ketika itu memang susah, saya fikir impian saya untuk beraksi dengan pasukan Liga Super tidak akan tercapai. Kemudian saya terus berusaha dengan bermain di Liga M3 bersama Ultimate FC.

“Alhamdulillah, tak sangka rezeki saya sehingga ditawarkan kontrak oleh Terengganu (TFC). Saya tahu, saya tidak boleh berputus asa walaupun hanya bermain di Liga Amatur sebelum ini. Lihat apa yang dilakukan Jamie Vardy, seorang pemain amatur yang akhirnya mencipta nama.

“Tapi saya sedar, cabaran yang bakal saya lalui bukan mudah. Liga Super adalah pentas lebih besar berbanding apa yang saya lalui sebelum ini. Saya kena berusaha lebih keras untuk mendapat tempat dalam pasukan,” kata Nabil yang menandatangani kontrak selama enam bulan bersama TFC.

Nabil yang meledak tujuh gol bersama Ultimate FC sebelum ini hanya berada dalam senarai pemain simpanan ketika TFC tewas 4-0 di tangan Pahang pada suku akhir kedua Shopee Piala FA Jumaat lalu sekali gus tersingkir menerusi agregat 5-2.

Ia pengalaman pertama cukup perit buat Nabil namun pemain sayap kiri ini bersedia untuk membantu skuad Penyu meneruskan saingan merebut kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Tak sangka, saya boleh berada satu pasukan bersama pemain yang saya kagumi sebelum ini seperti Ashari Samsudin dan Syamim Yahya. Saya berterima kasih kepada pemain dan jurulatih Irfan yang banyak memberi tunjuk ajar.

“Memang saya mengharapkan untuk membuat penampilan pertama jadi saya kena cepat menyesuaikan diri bersama pasukan. Bersama Ultimate FC, saya beraksi di posisi penyerang dan di sini, saya diberi peranan sebagai pemain sayap kiri.

“Saya berharap dapat menyumbang sesuatu kepada pasukan dan sudah pasti saya mengimpikan kejuaraan bersama Terengganu,” katanya.