Anda pasti kenal dengan nama ini terutama sekali selepas kebangkitan AS Roma ke atas Barcelona di Rome dan kemudian memberikan Liverpool kekalahan pertama dalam UCL musim ini.
Ada perkara yang menarik tentang Eusebio Di Francesco yang kami mahu kongsikan dengan anda.
Pengurusan moden
Ketika pertama kali mengendalikan AS Roma, Eusebio Di Francesco berhadapan dengan beberapa tekanan daripada pelbagai sudut.
Antaranya adalah keyakinan daripada pemain ke atas beliau. Dalam kem AS Roma, ada beberapa pemain yang agak besar kepala. Media Itali juga ramai percaya, salah satu sebab Spalletti tidak menyambung kontrak di AS Roma kerana adanya simptom kuasa pemain (players power).
Beliau mengambil tugasan yang ditinggalkan oleh Spalletti. Pada musim 2016/17, Spalletti seringkali mengkritik beberapa pemain bintang dalam pasukan AS Roma yang tidak berdisplin.
Misalnya, selepas kekalahan di tangan Porto pada pusingan kelayakan UCL, Spalletti berkata:
“Kami gagal mengawal bola dengan baik seperti apa yang saya telah rancang. Kami tidak terurus, namun kami telah mengawal semula keadaan selepas dikejutkan dengan gol pembukaan (Porto).”
“Tidak lama selepas itu, kami dikurangkan kepada 10 pemain dan ia menjadi lebih sukar.”
“Ketiga-tiga kad merah kami adalah naif! Ini kerana kami perlu bermain dengan 11 pemain untuk menunjukkan karakter sebenar kami seperti akhir musim lalu.”
“Musim lalu, kami tidak memberikan pengadil ruang untuk membuang pemain-pemain kami. Sekarang ia kerap berlaku dan saya tidak faham mengapa?”
“Kami ada peraturan khas dalam pasukan ini. Kami tidak akan bertoleransi kepada mana-mana pemain yang menyebabkan rakan-rakan mereka bermain 10 orang di dalam padang.”
“Kami tidak ada petanda akan hal ini, jadi kami tidak ada langkah mencegahnya lebih awal.”
Spalletti kemudian berjaya menggunakan kuasa pengurus beliau dan membantu AS Roma mara ke UCL pada musim 2017/18. Pemain seperti Edin Dzeko dan Mohamed Salah berjaya bermain lebih baik.
Cabaran Eusebio
Cabaran itu dihadapi oleh Eusebio Di Francesco. Bayangkan beberapa minggu sahaja beliau mengendalikan perlawanan Serie A bersama AS Roma, Edin Dzeko dan beberapa pemain sudah mengkritik taktikal beliau.
Dzeko mengkritik corak permainan AS Roma di bawah Eusebio di Francesco yang tidak menggunakan lebih banyak (utilizing) pemain sayap untuk masuk ke dalam kotak penalti lebih kerap.
Dzeko membandingkan taktikal Eusebio dengan Spalletti di mana, Mohamed Salah akan banyak melakukan ‘cut inside’ berbanding dengan sistem pemain sayap yang lebih klasik untuk kekal di sisi zon sayap.
Persoalannya kini, adakah ia akan membuatkan Edin Dzeko kehilangan tempat dalam pasukan utama?
Jawapannya tidak! Eusebio menghargai pemikiran bola sepak (footballing minded) yang ada pada Dzeko dengan memperbaiki sistem pemain sayap mereka.
Hasilnya, selepas itu AS Roma menang 3-0 ke atas Verona dengan sistem pemain sayap yang lebih banyak masuk ke dalam (inside). AS Roma kemudian berjaya memperbaiki aspek permainan di bahagian sayap supaya menjadi lebih fluid.
Ia bukanlah bermakna beliau tunduk kepada pemain. Tetapi lebih kepada menghargai pandangan, meskipun Dzeko pada pandangan kami tidak seharusnya secara terbuka mengkritik taktikal di hadapan media.
Pada hari ini ramai pemain yang memiliki penaakulan taktikal (tactical insight) yang sangat baik.
Dalam satu sidang media, beliau menyatakan yang beliau tetap mahu pemain menghormati perancangan taktikal beliau. Eusebio juga menyatakan urusan taktikal, rujukan utama adalah beliau, bukan para pemain.
Dalam perlawanan UCL menentang Barcelona dan Liverpool beliau melakukan kesilapan pada perlawanan pertama. Namun pada perlawanan kedua beliau berjaya menyediakan taktikal yang berkesan dalam perlawanan kedua.
Antara ramuan yang beliau tekankan adalah ‘bermula awal’. Sesebuah pasukan itu akan mengambil sekitar 10-15 minit untuk ‘settle down’ di dalam padang.
Beliau mengarahkan pemain beliau melakukan ‘warm up’ dinamik yang intensif sebelum perlawanan. Ia bukan mudah untuk dilakukan. Memerlukan pemain berkorban sedikit tenaga sebelum perlawanan.
Sepanjang minggu mereka berlatih secara intensif supaya otot-otot mereka lebih bersedia ataupun sentiasa ‘panas’.
Ideanya adalah untuk menyuntik pemain dengan intensiti permainan sebenar pada sesi pemanas badan. Ia nampak berkesan digunakan AS Roma. Itu antara resepi kejayaan mereka menewaskan Barcelona dan Liverpool dalam perlawanan kedua timbal balik.
Mereka hampir berjaya mengikat Liverpool secara agregat pada perlawanan ke-2.
Tiada keraguan lagi
Jika pada awal musim ramai yang menyatakan Roma agak besar untuk dikendalikan oleh Eusebio, tetapi beliau membuktikan beliau adalah jurulatih yang mampu mengendalikan tekanan tersebut.
Tidak ramai meletakkan harapan kepada AS Roma untuk mencabar kedudukan UCL musim ini berbanding dengan pasukan seperti Inter Milan dan AS Roma.
Ini selepas AS Roma melepaskan ramai pemain bintang mereka termasuk Mohamed Salah, Rudiger dan Paredes. Tetapi mereka tidak melakukan pembelian pemain yang besar.
Kualiti pengurusan pemain dan kemampuan untuk mengawal pemain-pemain bintang dalam kelab yang besar adalah kejayaan peribadi beliau.
Roma masih dalam kedudukan terbaik untuk ke UCL sekali lagi musim hadapan. Impak kehilangan Spalletti berjaya diatasi oleh beliau.