Saingan 16 terbaik Piala Malaysia musim 2024/2025 telah pun tamat semalam dengan masing-masing sudah pun mengetahui perjalanan mereka untuk terus layak atau sekadar terkandas di peringkat awal.
Agak sepi musim ini apabila kelab yang kaya dengan sejarah dalam saingan berprestij ini tersingkir awal iaitu Penang, Kedah Darul Aman (Kedah), serta Selangor.
Ketiga kelab ini sebenarnya sinonim dalam saingan Piala Malaysia, sebelum mereka masing-masing ditunjukkan jalan keluar oleh lawan dengan lebih awal.
Penang terus hambar
Penang tampil meneruskan momentum negatif mereka daripada persaingan Liga Super kepada saingan Piala Malaysia dengan kekalahan yerus dicatat mereka.
Dua kekalahan pada aksi 16 terbaik Piala Malaysia kepada Kuching City menyaksikan mereka terkandas awal dan mendapat pelbagai kritikan daripada peminat sendiri.
Untuk rekod, Penang pernah menjuarai kejohanan tersebut sebanyak empat kali sejak tahun 1953 dan merasainya buat kali terakhir pada musim 1974.
Kedah gagal kekal momentum positif
Sang Kenari dilihat cuba menghidupkan harapan buat para peminat mereka menerusi kemenangan 3-2 pada aksi pertama ketika menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) di halaman sendiri.
Namun momentum positif itu gagal dipertahankan apabila mereka menjadi mangsa amukan KL City pada aksi timbal balik semalam menerusi keputusan 1-4 dan 4-6 secara agregat.
Kali terakhir mereka mendakap kejohanan itu pada tahun 2016 dan kejayaan double trebel 2007-2008 kekal menjadi lipatan sejarah terbaik pernah dilakar Kedah pada aksi Piala Malaysia.
Kejutan besar buat Selangor
Tiada siapa menjangkakan Selangor akan terkandas dengan lebih awal pada saingan Piala Malaysia musim ini jika melihat pads reputasi semasa serta kualiti dimiliki kelab tersebut.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi secara rasminya menjadi antara kelab terkandas awal apabila mereka dikejutkan oleh Sri Pahang menerusi keputusan 2-3 secara agregat di halaman sendiri.
Ini menyaksikan hasrat mereka untuk cuba menambah koleksi terbaharu Piala Malaysia musim 2024/2025 nampaknya tidak kesampaian buat The Red Giants.
Kali terakhir mereka mengecapi kejuaraan tersebut pada tahun 2015 untuk melengkapkan misi 33 kejuaraan Piala Malaysia dan itu sudah pasti akan terus menjadi pertikaian dalam kalangan peminat atas aksi lesu ditampilkan pasukan tersebut.