Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Kisah Cinta Piala Malaysia, Dari Lemoi Ke Bukit Jalil

Lupakan kejuaraan yang berjaya dijulang oleh JDT buat seketika. Atau pun kedukaan Kedah yang tewas di perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari.

Kami yakin ramai yang tertanya-tanya. Siapakah gerangan kanak-kanak berbaju serba oren yang menjadi maskot atau pun pengiring barisan kesebelasan utama JDT dan Kedah menjelang sepak mula perlawanan tempoh hari.

Untuk pengetahuan anda, mereka adalah murid-murid Orang Asal yang dibawakan khas oleh The Ohana FC dari Lemoi, Cameron Highland.

Di Semuanya BOLA kami berbesar hati untuk berkongsi kisah pengembaraan mereka dari Lemoi sehingga ke Bukit Jalil. Ikuti nukilan Cikgu Al Hanisah yang kami kongsikan di sini.


DARI LEMOI KE BUKIT JALIL

Sebenarnya, program asal hanyalah untuk anak-anak SK Lemoi menyertai Hari Sukan Ohana di UM Arena pada siangnya. Bermain bola sepak, bola jaring dan sukaneka bersama anak-anak Tahfiz dan Anak Yatim Rumah Mak Ngah.

Tetapi, dalam proses itu saya diberitahu oleh Saudara Hanif Miswan dan The Ohana FC bahawa anak-anak Lemoi akan mengiringi pemain bola sepak ketika saingan Piala Malaysia Peringkat Akhir di Bukit Jalil.

Terasa bagai bermimpi. Walaupun sebenarnya, untuk bermimpi mendapat peluang seperti itu pun kami tidak berani. Tidak mudah untuk membawa keluar 33 orang anak ini keluar.

Projek Hari Sukan Ohana ! ❤️🌹

Terima kasih buat semua yang menjayakan dan meraikan… semoga beroleh manfaat, segala…

Posted by The Ohana FC on Sunday, November 3, 2019

Banyak yang perlu difikirkan. Tapi berkat usaha The Ohana yang merancang semuanya, telah dipermudahkan jalan kami. Alhamdulillah.

Keluar pagi Jumaat selepas sekolah dengan dua buah pacuan empat roda dan membonceng motor guru-guru sehingga ke Ringlet. Dari situ kami menaiki bas pula untuk ke Kuala Lumpur.

Team The Ohana siap menunggu untuk menyambut ketibaan anak-anak di D’Kayangan Grill & Steamboat, Shah Alam untuk sama-sama makan malam.

Terima kasih D’Kayangan kerana menaja makan malam kami pada malam itu. Pengalaman anak-anak makan grill & steamboat semestinya. Walaupun awalnya tidak tahu dan janggal, tetapi team The Ohana tekun dan sabar menunjuk ajar dan membantu anak-anak.

Kami menginap di Universiti Malaya kerana pagi Sabtu anak-anak akan bermain bola sepak, bola jaring dan sukaneka di UM Arena.

Jam 4 petang, kami bergerak ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Ketika ini debaran (baca; cikgu. Murid rileks je) mula terasa. Boleh ke anak-anak menggalas tugas ini.

Boleh ke mereka pimpin tangan pemain masuk padang? Boleh ke mereka bawa bola? Boleh ke mereka bawa syiling? Macamana ketika nyanyi lagu negeri dan Negaraku nanti? Ketika semua 80,000 lebih pasang mata menumpu perhatian ke atas padang?

Macam-macam fikir, risau takut ada terbuat salah dimana-mana bahagian.

Sampai di SNBJ, penyokong JDT dan Kedah telah mula memenuhi perkarangan. Kami diberikan pas khas “escort kids” dan seterusnya dibawa masuk ke stadium oleh team MFL untuk stadium tour.

Tipulah tidak teruja, bahkan cikgu yang lebih teruja. Alhamdulillah, terima kasih anak-anak. Cikgu hanya menumpang rezeki kalian.

Beberapa buah kamera mengekori kami; MFL, Majalah 3 dan MHI khususnya. Anak-anak masih steady. Muka masing-masing dah nampak teruja.

Terutama The Botaks semestinya. Mereka ada favorite player. Bahkan ada yang berhajat untuk memegang tangan Sumareh. Apakan daya, Pahang gagal mara ke akhir. Begitupun, Pahang hantar The Botaks mewakili ke saingan akhir ini. Hahaha.

Dua kali raptai perbarisan masuk padang. Kami pilih Robin untuk membawa “toss coin”. Robin akan membuat kemunculan paling istimewa kerana namanya akan disebut oleh pengacara.

Wahhh… ini memang bukan biasa-biasa untuk Robin sendiri khususnya.

Sebenarnya, yang lebih gemuruh adalah kami. Bayangkanlah. Di sekolah pun untuk sesuatu persembahan mesti latihannya berhari-hari. Tapi ini acara besar tumpuan seluruh rakyat Malaysia tapi latihannya cuma dua kali.

Dan hanya dua guru bersama Hanif sahaja yang dibenarkan bersama di lorong, sementara kami hanya menunggu di bilik atas yang telah dikhaskan.

Sebelum acara bermula, anak-anak dibawa ke bilik persalinan pemain. Mereka berpeluang melihat persalinan pemain-pemain depan mata mereka.

Apapun, baru saya tahu mereka sebenarnya peminat JDT. Nama Safawi dan Akhyar sering sahaja disebut. Dan tempat kami adalah di bahagian penyokong Kedah. Bayangkan mereka bersorak untuk JDT di atas tempat duduk penyokong-penyokong Kedah. Hahaha haru!

Anak-anak juga berpeluang menunggu ketibaan pasukan ke bilik persalinan. Mereka bertepuk tangan dan menepuk tangan pemain-pemain yang menyuakan tangan kepada mereka.

Dan sudah tentulah tepukan paling gemuruh untuk Safawi dan Akhyar.

Acara bermula. Kami menunggu dengan debar di atas, di ruang khas untuk kami di sebelah suite eksekutif yang berharga puluhan ribu. Ketika pengacara pengumumkan perarakan masuk, kami punya berdebar dan teruja.

Sebaik melihat anak-anak memimpin tangan pemain masuk ke padang sambil melambai kepada penonton; saya sebak sungguh-sungguh melihat mereka.

Teratur mereka masuk ke padang. Tertib ketika menyanyikan lagu negeri dan Negaraku. Dan keluar semula sebaik lagu Negaraku habis dinyanyikan dalam satu barisan dengan berpimpin tangan.

Seterusnya nama Robin disebut sebagai pembawa “toss coin” wajahnya muncul di layar gergasi. Serba sedikit cerita tentangnya dibaca dengan penuh semangat oleh pengacara. Meremang! Ya! Itulah anak kami.

Si kecil yang saya tahu sedang kuat melawan perasan gemuruhnya. Riak wajahnya cukup menunjukkannya. Seluruh perhatian kepada dia.

Dan air mata saya tidak dapat ditahan lagi. Berkongsi perasaan sebak dan terharu bersama team Ohana dari atas sini. Momen yang paling indah, paling mengharukan dan paling seperti mimpi yang menjadi realiti.

Terima kasih Anip!
Terima kasih The Ohana FC!
Terima kasih Malaysian Football League.
Terima kasih semua warga Lemoi yang sentiasa menyokong dan mendoakan.
Terima kasih Tuan GB Shaharoni Salleh yang menyokong dan memberikan persetujuan serta seterusnya menguruskan pelepasan anak-anak dan kami.
Terima kasih Dato’ Pengarah JPN dan Unit Sukan atas pelepasan dan kebenaran yang diberikan kepada kami.
Terima kasih Puan Farahanim Razak.
Terima kasih semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak.

Semoga yang baik-baik untuk anda.

Alhamdulillah. Rezeki yang datang buat anak-anak Lemoi; anak-anak Orang Asli dari suku kaum Semai yang hidup mereka jauh di tengah hutan dan jauh dari kemudahan asas termasuk bekalan air bersih dan elektrik telah diberi peluang yang besar.

Sungguh. Untuk peluang seperti ini, bermimpi pun kami tidak berani.

Penghargaan sebesar-besar untuk The Ohana FC yang melorongkan peluang kepada anak-anak kami. Semoga balasan yang baik-baik untuk anda semua. Semoga segala kebajikan yang telah dan akan anda usahakan nanti akan dipermudahkan olehNya.

Dari kami, tiada yang lain dapat kami berikan hanya ucapan terima kasih untuk kasih sayang anda buat anak-anak kami. The Lemoians; The Botaks & The Kerintings.

This Is Lemoi!

 

Nota Editor: Artikel asal dikongsikan oleh Cikgu Al Hanisah di laman Facebook beliau, sebelum disunting dan diterbitkan dengan kebenaran di Semuanya BOLA.