Kisah Barthez Bermain Di Posisi Sayap, “Nutmeg” Lawan Bantu MU Belasah Singapura

Lama dahulu sebelum Manuel Neuer atau Ederson berdiri di garis tengah padang dan menampilkan kebolehan melakukan hantaran jauh, bola sepak pernah menyaksikan Fabian Barthez cuba merevolusikan posisi penjaga gol.

Hari ini ramai penjaga gol mahu digelar “penjaga gol moden” dengan kemampuan mereka menguasai bola dengan kaki. Penjaga gol sebegini selesa apabila bola berada di kaki, dan terlibat dengan penguasaan bola untuk membantu pasukan merencanakan gerakan dari bawah.

Zaman Barthez, penjaga gol baka sebegini – turut dikenali sebagai ‘ball-playing keeper’, atau ‘sweeper-keeper’ pada hari ini – jarang ada.

Barthez mungkin antara penjaga gol terawal mahu melakukannya, dan dianggap ‘si botak yang gila’ oleh kebanyakkan pundit pada era itu.

Gemar beraksi di luar posisi

Pada zaman kegemilangannya, Barthez bukan sahaja dikenali sebagai seorang penjaga gol yang cekap menggunakan tangannya menangkis percubaan pemain lawan.

Penjaga gol yang menjulang Perancis di Piala Dunia 1998 itu juga gemar menunjukkan skil menggunakan kaki. Antara kelebihan dimiliki Barthez ialah kemampuannya melakukan hantaran jauh tepat – kelebihan yang jarang dimiliki penjaga gol lain pada era tersebut.

Barthez tiba di Old Trafford sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dunia. Setahun kemudian, beliau diberikan peluang untuk beraksi sebagai pemain biasa – di posisi sayap – bersama Manchester United dalam satu perlawanan persahabatan pra musim.

“Untuk menggelar saya sekadar seorang penjaga gol sahaja tidak cukup.  Saya juga gemar terlibat di dalam membina gerakan dalam perlawanan sebanyak mungkin. Saya juga boleh beraksi seperti pemain biasa [di posisi lain],” ujar Barthez dalam satu temubual lama dahulu.

Barthez sangat yakin akan kemampuan yang dimilikinya. Maka tidak hairanlah beliau sentiasa cuba melakukan stepovers, nutmegs, dan cuba menggelecek lawan ketika perlawanan.

“Penjaga gol lain akan cuba bermain dengan selamat,” ulas Sir Alex Ferguson mengenai penjaga gol itu.

“Fabian [Barthez] akan cuba menghasilkan sesuatu yang lebih…. adakalanya berlebihan. Beliau sukakan keterujaan mengawal bola.

“Saya sentiasa ingat beliau sentiasa berkata dirinya adalah pemain outfield yang lebih baik [berbanding seorang penjaga gol]. Jadi adakalanya beliau akan beraksi di posisi lain dalam perlawanan latihan pada Jumaat sebelum perlawanans sebenar pada hujung minggu. Beliau memang pemain yang hebat dengan kakinya.

Barthez raih peluang

Akhirnya Barthez diberikan peluang yang diimpikannya dalam satu perlawanan pra musim di Asia Tenggara menentang pasukan Pilihan Singapura pada 25 Julai 2001.

Di hadapan 44,000 penyokong di Stadium Nasional, Kallang antara yang dinantikan ramai ialah penampilan penyerang baharu dari Belanda, Ruud van Nistelrooy. Tiada siapa pun di antara penonton yang hadir menjangkakan mereka turut akan menyaksikan seorang pemain penyerang baharu dalam perlawanan tersebut.

Pada ketika Man United selesa mendahului 7-1 dan perlawanan berbaki 10 minit, Ruud van Nistelrooy dikeluarkan oleh Sir Alex, dan sedia menanti adalah pemain berjersi No.7 yang sinonim dengan nama David Beckham.

Tetapi Barthez diarah menukar jersi No.7 yang dipakainya dan akhirnya menyarung jersi No.14. Penampilan Barthez diberikan tepukan gemuruh oleh penonton yang hadir dan lariannya di sebelah kiri ibarat Johan Cruyff versi botak.

Sempat tampil skil

Melalui penampilan lebih kurang 1o minit, Barthez pantas memikat penonton dengan skil yang dimilikinya. Beliau menunjukkan first touch berkualiti tinggi menyambut hantaran jauh rakan sepasukan, dan sempat melakukan nutmeg terhadap seorang pemain pertahanan Pilihan Singapura.

Walaupun berjaya menampilkan aksi menarik, kehadiran Barthez gagal memberikan impak tatkala Ryan Giggs menjadikan kedudukan 8-1 untuk Man United.

“Walaupun Sir Alex Ferguson bergelut untuk memilih penyerang terbaik untuk perlawanan ini, boleh pula nama Fabian Barthez muncu dalam fikiran pengurus dari Scotland itu,” tulis The Daily Telegraph dalam laporan untuk perlawanan ini.

“Sepanjang 10 minit beliau [Barthez] menceriakan 44,000 penonton yang hadir, penjaga gol itu hanya membuktikan dirinya lebih hebat beraksi di hadapan gawang.”

Penutup

Perlawanan tersebut kekal sebagai satu-satunya perlawanan di mana Barthez melakukan kemunculan sebagai pemain biasa sepanjang kariernya.

Selepas bersara, Barthez mengejar impiannya sejak dari zaman kanak-kanak dengan menceburi sukan lumba motorsport. Karier perlumbaannya boleh dikatakan berjaya apabila pasukannya berjaya menjuarai France GT Motorsport Series pada tahun 2013.

 

 

Baca artikel menarik lain mengenai bola sepak antarabangsa:

Mengapa Penyokong PSG Benci Pogba?

Benarkah Wijnaldum Tinggalkan Anfield Kerana Tak Tahan Perangai Penyokong Liverpool?

10 Kelab Eropah Berbelanja Paling Besar Tatkala Dunia Dilanda Pandemik

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN