Kisah 5 Pemain Bola Sepak Yang Dibunuh Dengan Kejam Dan Mengejutkan Dunia

Bola sepak merupakan sukan No. 1 dunia. Tidak boleh dinafikan bola sepak juga merupakan sukan yang memberi  pelbagai emosi kepada peminat-peminat bola sepak termasuk di negara kita.

Gembira ketika menang. Kecewa ketika tewas. Pasukan yang disokong disanjung, yang kalah dikeji. Pemain yang diminati menjadi idola, yang hambar dikecam. Bola sepak turut memiliki sisi gelap yang hodoh.

Adakalanya kita melihat penyokong tidak boleh mengawal emosi dan sehingga adanya caci maki, tindakan melampau serta keganasan ketika cuba melakukan protes.

Tidak kurang juga yang mensasarkan penyokong dan pemain lawan dan adakalanya pemain pasukan sendiri tatkala rasa tidak puas hati sedang meluap.

Adakah kita terlampau taksub?

Kalah atau menang adalah adat pertandingan. Berbaloikah kita mewujudkan ketegangan tatkala tujuan asal perlawanan bola sepak ialah untuk merapatkan hubungan sesama umat manusia?

Hari ini kami bawakan wajah terburuk dalam dunia bola sepak. Kisah 5 pemain bola sepak yang telah dibunuh secara kejam, termasuk oleh lawan dan penyokong mereka sendiri.

5. Senzo Meyiwa

Karier Senzo Meyiwa telah meningkat dan mendapat perhatian ramai sejak mendapat panggilan menyertai skuad kebangsaan Afrika Selatan pada 2013.

Meyiwa bukan sekadar memenangi jersi No.1 skuad Afrika Selatan, malah beliau telah dilantik untuk memakai lilitan kapten pasukan pada September tahun yang sama.

Bagaimapaun pada 26 September 2014, kurang 24 jam selepas membantu Orlando Pirates menewaskan Ajax Cap Town, Senzo Meyiwa telah ditembak mati.

(Photo by Anesh Debiky/Gallo Images/Getty Images)

Laporan mengatakan Meyiwa cuba mempertahankan teman wanitanya dalam satu rompakan di kediamannya. Meyiwa dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba.

Penjaga gol itu berada di kemuncak prestasi untuk kelab dan negaranya sebelum kejadian tersebut. Meyiwa membantu Orlando Pirates menang di perlawanan akhir African Champions League.

Mewiya juga merupakan kapten skuad Bafana Bafana dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dalam 4 perlawanan terakhir, tanpa melepaskan sebarang gol sebelum pembunuhannya.

Polis di Afrika Selatan dikatakan telah mendakwa seorang lelaki berkaitan pembunuhan Senzo Meyiwa. Bagaimanapun mahkamah dikatakan melepaskan lelaki tersebut daripada tuduhan kerana kekurangan bukti.

4. Tommy Ball

Pada 10 November 1923, Aston Villa bertemu dengan Notts County dalam satu perlawanan Divisyen 1, Liga Inggeris. Pertahanan tengah berusia 23 tahun, Tommy Ball menunjukkan satu lagi permainan yang amat memberangsangkan dan merupakan nadi pertahanan Aston Villa.

Aston Villa menang perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0 dan naik ke kedudukan ke-3 liga.

Malang bagi Tommy Ball, itu adalah perlawanan bola sepak terakhir buat beliau.

Sehari kemudian, Ball telah mati ditembak di perkarangan kediamannya selepas bertengkar dengan jiran yang juga merupakan tuan tanah kepada Ball.

Kredit: The Guardian

Pembunuh kepada Tommy Ball, George Stagg telah dituduh kerana membunuh dan dijatuhkan hukuman mati. Rayuan George Stagg kemudian membenarkan dia dipenjara seumur hidup

Karier Ball bermula di Newcastle United. Ball meninggalkan St. Jame’s Park tanpa beraksi walau satu perlawanan pun untuk kelab tersebut sebelum menyertai Aston Villa.

Di Villa Park, Tommy Ball telah menjadi salah seorang pertahanan tengah terbaik di Liga Inggeris dan sedang menantikan panggilan antarabangsa pertamanya.

Malangnya, tidak ada sesiapa yang dapat menyaksikan potensi sebenar Tommy Ball.

3. Lutz Eigendorf

Lutz Eigendorf merupakan salah satu prospek hangat dari Jerman Timur yang menjadi bualan ramai pada lewat 1970an. Debut pertama Eigendorf bersama skuad kebangsaan Jerman Timur ialah pada usia beliau 22 tahun.

Pemain tengah ini memulakan karier bola sepaknya bersama sebuah kelab Jerman Timur iaitu BFC Dynamo namun berpindah ke Jerman Barat untuk menyertai FC Kaiserslautern dalam perpindahan yang disifatkan kontroversi.

Lutz Eigendorf digantung setahun oleh UEFA kerana melanggar terma kontrak.

Kredit: Football Republik

Eigendorf adalah seorang pemain yang sangat lantang bersuara. Beliau mengkritik Jerman Timur di media Jerman Barat secara terbuka. Beliau kemudiannya meninggalkan Kaiserslautern untuk menyertai Eintracht Braunschweig.

Eigendorf baharu sahaja beraksi sebanyak 8 kali ketika tragedi melanda. Lutz Eigendorf dikatakan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan mengalami kecederaan parah. Beliau meninggal dunia 2 hari kemudian di hospital.

Selepas kes disiasat semula, bukti baharu mendapati bahawa kematian Eigendorf sebenarnya bukanlah disebabkan oleh kemalangan, namun merupakan konspirasi oleh Stasi- unit perisik polis milik Jerman Timur.

2. Luciano Re Cecconi

Luciano Re Cecconi telah menjadikan dirinya sebagai seorang pemain tengah box to box antara yang terbaik pernah disaksikan di Itali pada era itu.

Re Cecconi berjaya membantu Foggia untuk naik divisyen, melayakkan diri ke pertandingan Serie A.

Mendapat jolokan nama ‘The Blode Angel’ kerana warna rambutnya, permainan cemerlang Re Cecconi menyebabkan beliau disunting oleh Lazio dan membantu kelab Rom tersebut bergelar juara liga 2 tahun kemudian.

Prestasi cemerlang Luciano Re Cecconi turut menyebabkan beliau mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaaan Itali ke Piala Dunia 1974.

(Photo by Sergio del Grande/Mondadori Portfolio via Getty Images)

Namun Luciano Re Cecconi kehilangan nyawanya selepas itu.

Re Cecconi sangat disenangi kerana gemar bergurau. Adakala gurauannya agak melampau. Satu hari Re Cecconi dan rakan-rakannya ingin menyamar menjadi kumpulan perompak untuk merompak sebuah kedai emas.

Pemilik kedai yang masih trauma akibat rompakan yang berlaku selang beberapa minggu, tidak teragak-agak melepakan tembakan dari selaras senapang patah, tepat ke arah dada Re Cecconi,

Re Cecconi disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian pada usia 28 tahun.

Sehingga kini, nama Luciano Re Cecconi dianggap sebagai legenda di kalangan penyokong Lazio.

1. Andrés Escobar

Andrés Escobar  adalah salah seorang pemain bintang skuad kebangsaan Colombia. Penampilannya turut menarik perhatian beberapa kelab Eropah.

Di Piala Dunia 1994, Colombia adalah salah sebuah pasukan yang dipercayai mampu membuat kejutan untuk menjadi juara.

Namun mereka memerlukan kemenangan ketika berhadapan dengan tuan rumah, USA dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Malang sekali buat Colombia apabila jaringan gol sendiri oleh Escobar memusnahkan impian Colombia untuk sebarang peluang mara ke perigkat saingan seterusnya.

Colombia tewas 2-1, dan tersingkir daripada Piala Dunia 1994.

Mandatory Credit: Shaun Botterill/ALLSPORT

Enggan menunjukkan simpati terhadap diri sendiri, Escobar turut berkata kepada media: “Jumpa lagi. Hidup bukan tamat di sini.”

Malang bagi Escobar, kehidupannya berakhir di situ, Pada 2 Julai 1994 di Colombia, beliau telah ditembak sebanyak 6 kali di luar sebuah kelab malam dan disahkan meninggal dunia 45 minit selepas tiba di hospital.

Sebuah kartel dadah  di Colombia dikatakan kecewa dengan kekalahan skuad kebangsaan mereka dan bertanggungjawab atas pembunuhan Escobar.

Lebih dari 120,000 orang menghadiri pengkebumian Andrés Escobar .

Begitulah kisah gol sendiri yang menyebabkan pembunuhan di dalam dunia bola sepak.

Rumusan

Adakah berbaloi jika malapetaka seperti yang menimpa 5 pemain di atas berlaku? Selepas 90 minit perlawanan, setiap satu perlawanan bola sepak itu akan tetap dikenang sekadar sebagai satu perlawanan. Tidak kurang, dan tidak lebih.

Ia tidak memerlukan pembunuhan untuk menyelesaikannya. Di negara kita, belum pernah lagi terjadi perkara tragis sebegini.

Namun sebagai penyokong, mungkin kita boleh belajar untuk mengawal emosi, terutama ketika berkata-kata khususnya di media sosial.

Budi bahasa cerminan bangsa.

Anda mempunyai nama lain untuk disenaraikan? Sila beritahu kami diruangan komen.

Sumber:

1. Everson Luhanga, Daily Sun (2016): ‘I know who shot Senzo!’; http://www.dailysun.co.za/News/National/i-know-who-shot-senzo-20161026

2. Simon Burnton, The Telegraph (2014): The forgotten story of … the life and death of Tommy Ball; https://www.theguardian.com/sport/blog/2014/dec/17/forgotten-story-tommy-ball-aston-villa-life-death

3. The Telegraph (2003): ‘Stasi assassin holds murder clues’; http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/germany/1442658/Stasi-assassin-holds-murder-clues.html

4. The Gentle Man ultra (2015): The Tragic Story of Luciano Re Cecconi; http://www.thegentlemanultra.com/gazzetta/the-tragic-story-of-luciano-re-cecconi

5. David Hinckley, Daily News New York (2015): ‘Two Escobars’ draws parallel between soccer star Andres Escobar’s murder, drug lord Pablo Escobar; http://www.nydailynews.com/entertainment/tv-movies/escobars-draws-parallel-soccer-star-andres-escobar-murder-drug-lord-pablo-escobar-article-1.183431

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN