Kali terakhir Kipre Tchetche meledak gol adalah dalam saingan Piala Malaysia 2019 ketika menundukkan PKNS FC 2-0 pada September lalu di Shah Alam. Ia adalah musim yang kurang menjadi buat dirinya.
Jumlah keseluruhan gol peribadinya musim lalu dalam semua pertandingan adalah 14 gol, kurang 10 gol berbanding musim 2018, ketika dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Malaysia.
Pada Selasa, Kipre Tchetche telah kembali. Bukan hanya satu gol, malah penyerang berusia 32 tahun itu meledak hatrik dalam debutnya bersama Kedah di kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.
Kedah berhasil menundukkan wakil Hong Kong, Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman. Kipre Tchetche meledak gol pada minit ke-3, 21 dan 92, selain dua gol daripada pemain sayap, Hadin Azman.
Ianya pasti debut yang akan dikenangnya dan mungkin juga buat para penyokong, Di saat dirinya kian kurang menyerlah sebelum meninggalkan Terengganu, pra-musim bersama Kedah juga suram.
“Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua. Hari ini kita dapat keputusan yang kita mahukan. Kita dapat jaringan awal dan memudahkan perjalanan perlawanan ini,” ujar Kipre Tchetche.
Paling mencuri tumpuan pastinya gol pertama tersebut yang dijaringkan penyerang kelahiran Ivory Coast itu dari luar kotak penalti seawal minit ke-3 perlawanan berlangsung.
Jaringan menakjubkan jarak jauh dari luar kotak penalti secara half volley yang dilakukannya itu berjaya membuka tirai jaringan Helang Merah di musim baharu dan di saingan kelayakan ACL 2020.
“Saya tidak menjangkakan akan menjaringkannya. Saya melihat [Kpah] Sherman memberikan bola itu kepada saya dan ketika dalam latihan kita dilatih untuk melakukan percubaan dari pelbagai sudut.
“Saya rasa saya berada di posisi yang terbaik dan terus melakukan percubaan tersebut. Saya cuma mahu melakukan yang terbaik,” jelasnya mengenai jaringan pertamanya di minit ke-3 itu.
Begitupun, Kipre Tchetche menjelaskan perkara penting adalah pasukan meraih kemenangan yang dicari dan mungkin selepas ini giliran pemain lain pula yang menghasilkan gol buat pasukan.
“Apa yang penting adalah pasukan menang. Hari ini saya mendapat peluang dan saya menghasilkan gol. Selepas ini, mungkin pemain lain pula yang akan mendapat peluang tersebut,” tambahnya.
Kedah akan berdepan FC Seoul pada 28 Januari depan untuk aksi play-off kelayakan ACL 2020 dan pemenang akan layak memasuki saingan peringkat kumpulan yang dijangka bermula Mac depan.
Kredit Foto: Kedah FA