Penyerang Kedah Darul Aman FC, Kipre Tchetche seboleh-bolehnya mahu merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2021 bersama Kedah selepas gagal melakukannya bersama Terengganu FC pada edisi 2018.
Ia adalah memori pedihnya di pentas final Piala Malaysia sepanjang kariernya di Liga Malaysia. Pada musim itu, beliau merupakan penjaring terbanyak buat Terengganu dan mereka layak ke final Piala Malaysia.
Berdepan Perak, dua gol Kipre Tchetche di minit pertama dan ke-42 membolehkan Terengganu selesa mendahului aksi. Namun, babak kedua, The Bos Gaurus bangkit untuk mengikat kedudukan kepada 2-2 menerusi gol Firdaus Saiyidi di minit ke-47 dan kapten, Brendan Gan di penghujung perlawanan – minit ke-91.
Sang Penyu tidak mengalah dan di masa tambahan, mereka kembali di depan menerusi gol Faiz Nasir pada minit ke-96. Di saat seakan-akan mereka bakal mendakap kejuaraan, pertahanan, Igor Zonjic terjaring gol sendiri, juga di penghujung masa tambahan – minit ke-121. Aksi di heret ke penentuan sepakan penalti.
Di sinilah nasib mereka berubah daripada pasukan yang di depan kepada kecundang. Perak menang 4-1.
Dua kad merah, dua gol dibatalkan serta enam gol hasilkan. Ia perlawanan akhir yang sangat dramatik!
Kipre Tchetche muncul penjaring terbanyak kejohanan tertua di Asia Tenggara itu, namun dua golnya di pentas final itu langsung tidak membantu Terengganu untuk menamatkan penantian 17 tahun mereka.
1921 ➡️ 2021
Dari Piala HMS Malaya ke TM Piala Malaysia, trofi yang penuh berprestij ini menyambut ulang tahun ke-100 musim ini.
Kini detiknya sudah tiba buat 16 pasukan berentap melakar sejarah menjulang trofi penuh keramat, TM Piala Malaysia. 🏆#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/Qyku3CBeLY
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 15, 2021
Piala Malaysia pula memasuki edisi ke-100 kali ini dan ini adalah motivasi tambahan untuk mencipta sejarah, menurut Kipre Tchetche. Katanya, “Semua pasukan sudah tentu tidak sabar-sabar untuk turun beraksi.”
“Nama Kedah akan tercatat dalam sejarah jika kami berjaya menjuarainya, jadi ia adalah motivasi tambahan,” tegasnya sambil berkata mereka perlu berhati-hati dengan semua pasukan termasuk dari Liga Premier.
“Coach [Aidil Sharin] sentiasa menekankan kepentingan untuk fokus perlawanan demi perlawanan. Kami sudah lakukannya di Liga Super dan kini kami akan cuba lakukannya di Piala Malaysia,” tambahnya lagi.
Kipre Tchetche membantu Kedah bangkit di saat akhir untuk meraih kedudukan kedua liga, di saat pasukan dihimpit kehilangan dua tonggak serangan, Rabih Ataya dan Kpah Sherman untuk empat aksi terakhir liga.
Meledak empat gol dalam empat aksi terakhir selain melakar bantuan gol tertinggi di saingan liga musim ini – 11 assist, Kipre Tchetche lebih mementingkan prestasi sepasukan berbanding kejayaan peribadi. “Kini saya mahu mengejar kejuaraan Piala Malaysia untuk memadam memori luka saya,” ungkapnya kepada The Star.
Sementara itu, menurut Aidil Sharin, beliau memiliki resipi lain untuk saingan Piala Malaysia, tidak sama dengan yang digunapakai ketika saingan liga. Antara yang disebutnya adalah perubahan posisi pemain.
Kedah akan berdepan Kelantan United dan Melaka United di Stadium Darul Aman dalam dua aksi pertama di Piala Malaysia pada 27 dan 30 September. Satu lagi pasukan dalam kumpulan bersama Kedah adalah Negeri Sembilan FC yang akan menanti kunjungan skuad Hijau Kuning ke Paroi pada 29 Oktober depan.