Ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abdul Salim mengesahkan ayam tambatannya, Kipre Tchetche kini bukan lagi kapten pasukan itu sebaliknya penjaga gol berpengalaman, Suffian Abdul Rahman akan mengetuai skuad penyu dalam perlawanan yang seterusnya.
Bagaimanapun, Irfan menjelaskan dia mempunyai sebab yang kukuh untuk melakukan tindakan tersebut setelah menilai prestasi semasa penyerang dari Ivory Coast itu dalam 6 perlawanan Liga Super.
“Dia mengakui gagal mengulangi prestasi musim lalu dan saya mengambil keputusan untuk melucutkan jawatan sebagai kapten pasukan dan saya berharap dia mampu kembali menampilkan aksi yang lebih baik,” kata Irfan dalam Stadium Astro.
Tahun lalu Kipre Tchetche muncul sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Super dengan 14 gol.
Jurulatih berpengalaman itu turut menyifatkan Kipre Tchetche yang digelar sebagai ‘Drogba Terengganu’ masih mencari rentak untuk membentuk persefahaman dengan Sanjar Shaakmedov dan Syamim Yahya.
“Saya lihat pemain itu (Tchetche) masih lagi bergelut untuk menghasilkan jaringan pertamanya musim ini biar pun sudah diberi peluang yang lebih luas dalam enam perlawanan terdahulu.
“Namun prestasinya tidak begitu membanggakan sebagaimana musim lalu ketika muncul penjaring terbanyak pasukan dengan meledak 24 gol keseluruhan sepanjang Liga Malaysia (Liga M).
“Kini kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemain itu untuk tugas merobek gawang lawan setiap kali kami beraksi sebaliknya pemain lain juga harus memikul tugas menjaringkan gol bagi mengelak kita terus kemarau jaringan.
“Setakat enam perlawanan terdahulu kita baharu berjaya meledak lapan gol. Dan jika dianalisis jaringan itu sepatutnya mampu menghasilkan lebih lagi jaringan berdasarkan keupayaan dan kelebihan yang ada pada pemain kita,” kata Irfan.
Kipre sudah pun diberikan surat tunjuk sebab minggu lalu untuk meningkatkan prestasinya yang merudum. Cabaran untuk Kipre untuk menamatkan kemarau jaringan menyusul lagi apabila Terengganu bakal berentap dengan Selangor di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
“Saya menerima keputusan ini dan mana-mana pemain boleh mengetuai Terengganu,” jelas Kipre.