Musim 2020 adalah musim keempat buat Kipre Tchetche beraksi di Liga Malaysia (Liga M) dan perpindahannya ke Kedah didorong oleh keinginannya yang mahukan cabaran baharu dan trofi.
Ketika ditemuramah Media KFA sejurus majlis menandatangani kontrak pada Selasa, penyerang berusia 31 tahun itu kelihatan gembira dan teruja untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Menurut Kipre Tchetche ketika ditanya mengenai perbezaan antara Kedah dan pasukan lamanya, Terengganu FC, baginya terdapat perbezaan ketara iaitu suasana, pasukan dan cabaran pasukan.
“Ia perbezaan yang ketara. Suasananya dan pasukan yang berbeza. Kedah adalah pasukan yang selalu bersaing untuk kedudukan tiga terbaik,” ujar penjaring terbanyak Piala Malaysia 2018 itu.
“Tahun ini, Kedah akan bermain di kelayakan Liga-Liga Juara Asia (ACL). Ia sesuatu yang berbeza dan mengujakan bagi pemain untuk memiliki cabaran baharu [dalam karier],” tambahnya lagi.
Kipre Tchetche menyertai Terengganu pada jendela perpindahan kedua musim 2017 dan telah membantu mereka meraih promosi ke Liga Super 2018 serta mara ke final Piala Malaysia 2018 – dan tewas 1-4 kepada Perak menerusi penentuan sepakan penalti.
Musim lalu adalah musim yang sukar buatnya apabila melalui satu fasa kemarau jaringan dan gagal membantu Terengganu dengan hanya berjaya menjaringkan lapan gol sepanjang musim.
“Dia [Irfan Bakti] percayakan saya dan saya perlu berterima kasih kepadanya atas segalanya. Dia berikan saya peluang, anda pun tahu ada ketika saya melalui fasa sukar [musim lalu], saya tidak menjaringkan gol, tetapi beliau terus percayakan saya,” ujarnya.
Bercakap mengenai misi bersama Kedah untuk musim hadapan, pemain yang bakal menyarung jersi nombor 10 itu mengatakan mahu mencabar kejuaraan yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya ada banyak misi [bersama Kedah]. Apabila kita melihat satu pasukan menjuarai liga sebanyak enam kali, ia agak membosankan.
“Jadi, saya sertai pasukan ini untuk cuba mencabar kejuaraan JDT dan meraih banyak lagi trofi seperti yang dilakukan pada musim lalu,” tambahnya lagi yang turut memuji Kedah dan para pemain yang baginya sangat bagus dari segi kemampuan dan prestasi.
“Seperti yang saya katakan tadi, cabaran ini yang mengujakan buat pemain. Kita akan berikan yang terbaik untuk layak ke peringkat kumpulan,” tekadnya sambil mengatakan cabaran di Piala AFC dan ACL adalah sangat berbeza dari segi kekuatan pasukan.
Kredit Featured Image: Kedah FA