King’s Cup: Kim Pan-gon Ada ‘Misi’ Tersendiri Di Chiang Mai

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon jelas mempunyai misi tersendiri mengenai saingan King’s Cup yang bakal membuka tirai pada malam ini di Chiang Mai, Thailand.

Berdepan tuan rumah iaitu Thailand, jelas Pan-gon pastinya sudah mempersiapkan segalanya untuk menghadapi corak permainan lawan yang dianggap antara terbaik ketika ini di Asia Tenggara.

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau mempunyai agenda tersendiri mengenai saingan yang dianjurkan oleh Thailand ini sebelum menghadapi kejohanan lebih besar nanti.

Jelas Pan-gon, untuk aksi di Chiang Mai ini, beliau mahu mempersiapkan segala yang penting buat para pemain bawah kendaliannya untuk membina asas penting sebelum menghadapi Piala Asia.

Menerusi kejohanan yang diadakan ini, Pan-gon berpeluang untuk membiarkan anak-anak buahnya meraih pengalaman berguna serta membina keyakinan dalam diri ketika berdepan lawan kuat.

Dalam aksi yang bakal berlangsung malam ini, bekas jurulatih Hong Kong tersebut melihat sebagai suatu peluang buat barisan pemain menunjukkan aksi terbaik mereka serta cuba mencipta kejutan ke atas pasukan tuan rumah.

“Selepas aksi kelayakan Piala Asia, kami membuat persiapan untuk Piala AFF dan pusingan akhir Piala Asia…dan saingan di sini adalah satu daripada persiapan kami, di mana menerusi saingan di sini saya berpeluang mendapatkan maklumat yang lebih mengenai pemain saya, dan saya berterima kasih kerana menjemput kami.

“Sebagai mana saya sebutkan, ini sebahagian daripada persiapan kami dan saya mahu melihat setiap pemain dan mendapatkan maklumat tambahan.

“Thailand pasukan yang berada di atas kita dengan barisan pemain yang baik, ini akan beri pengalaman berguna buat pemain di mana kami akan bermain dalam kejohanan yang lebih besar di masa hadapan.

“Kita akan gunakan pentas ini untuk bina keyakinan pemain menerusi saingan di sini,” katanya pada sidang media perlawanan menerusi Arena Metro.

Pada masa sama, penyerang sensasi negara iaitu Syafiq Ahmad mengakui beliau bersama rakan sepasukan lain tidak memandang mudah akan cabaran malam ini.

Tambah beliau, ketika ini mereka sudah pun bersedia untuk menghadapi tentangan Thailand di gelanggang lawan.

“Saya fikir Thailand sebuah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai pemain yang ada teknikal yang baik.

“Untuk kami, ini peluang yang bagus buat pemain menunjukkan kebolehan dan, untuk malam esok saya fikir kedua-dua pasukan akan memperagakan aksi terbaik,” kata bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) itu.

Satu lagi perlawanan turut bakal berlangsung pada hari ini dengan melibatkan antara Tajikistan serta Trinidad & Tobago selain pertemuan antara Thailand dan Malaysia.

Pemenangan aksi pada perlawanan hari ini akan terus melangkah ke final untuk membuat perhitungan terakhir bagi merebut kejuaraan tersebut.

Manakala, bagi pasukan yang tewas pula mereka akan berdepan antara satu sama lain untuk mengisi kedudukan ketiga dan keempat dan bakal berlangsung pada Ahad ini.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply