‘Ibarat sirih pulang ke gagang’. Itulah perumpamaan yang boleh dibuat dengan perlantikan bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K.Rajagobal sebagai jurulatih baharu pasukan PKNS FC bagi mengharungi saingan liga super musim depan.
Jurulatih yang digelar sebagai ‘King Gobal’ itu pernah dibawa masuk ke PKNS sebagai anggota dan juga pemain pada tahun 1978 sebagai gandingan kepada Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau telah mencipta pelbagai kejayaan bersama pasukan itu dalam saingan domestik.
Bekas Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dilantik sebagai pengendali baharu skuad Liga Super PKNS FC bagi musim 2018 pic.twitter.com/bf6pUe4EpL
— BERNAMA (@bernamadotcom) November 22, 2017
Datuk Rajagobal mengembangkan karier melalui kejurulatihan bersama pasukan PKNS FC di dalam liga Liga Selangor dan seterusnya menjadi jurulatih pasukan negeri, iaitu Selangor dan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia.
“Saya telah berkhidmat sebagai anggota dan pemain PKNS FC selama 22 tahun.
“Ianya merupakan satu penghargaan besar untuk saya kembali ke padang Kelana Jaya setelah ditawarkan menjadi jurulatih pasukan,” kata Datuk Rajagobal.
Pada tahun 2001, beliau dilantik sebagai jurulatih peringkat umur di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tugasan terakhir adalah sebagai jurulatih skuad senior sebelum bersara pada tahun 2013 menjadikan beliau sebagai jurulatih yang paling lama berkhidmat untuk FAM.
Pencapaian terbaik King Gobal ialah membawa skuad bawah 23 tahun negara memenangi pingat emas sukan SEA buat kali pertama selepas 20 tahun apabila skuad negara menewaskan Vietnam di perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA Laos pada tahun 2009.
Pada tahun 2010 pula, beliau mencipta satu lagi sejarah dengan membawa skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada taun 1996.
Kejayaan inilah yang membuatkan beliau dipanggil oleh penyokong bola sepak tanah air sebagai ‘King Gobal’.
Kami di SemuanyaBOLA mengucapkan selamat maju jaya dan tahniah di atas perlantikan beliau sebagai jurulatih baharu pasukan PKNS FC.