Gagal meledak gol, malah gagal sempurnakan sepakan penalti mungkin menerbitkan rasa kecewa penyokong Sabah FC terhadap Neto Pessoa, namun Datuk Ong Kim Swee memohon kesabaran daripada penyokong.
Sabah yang kini dibarisi beberapa pemain ternama tempatan tumbang 0-1 kepada pasukan yang baru meraih promosi ke Liga Super, Negeri Sembilan FC dalam aksi pertama Liga Super 2022 di laman sendiri, Jumaat.
Ia satu keputusan yang mengejutkan jika diambil kira daripada barisan pemain yang The Rhinos ada saat ini. Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan serta Saddil Ramdani adalah pemain yang terbaik dimiliki mereka dan Kim Swee mengakui kekalahan tersebut adalah satu tamparan buat mereka pada malam itu.
Menguasai permainan dan lebih banyak memiliki peluang melakar jaringan, menyebabkan Kim Swee berkata ia adalah tamparan buat mereka apabila lawan memanfaatkan situasi bola mati untuk memusnahkan mereka.
“Kita tidak memanfaatkan peluang yang kita ada yang mana kita mengawal banyak situasi. Dan peluang-peluang yang kita ada tidak dapat sempurnakan termasuk penalti. Ini memberi tamparan [kepada kita].”
Kim Swee di sidang media selepas perlawanan
Khair Jones yang merupakan seorang pertahanan berjaya meledak jaringan kemenangan buat Negeri Sembilan pada minit ke-51 selepas sepakan percuma Khuzaimi Piee gagal dikeluarkan dengan kemas oleh Baddrol Bakhtiar yang menemui Khair Jones yang telah dibiarkan tidak dikawal untuk melepaskan rembatan deras.
Sabah sebelum itu memiliki tiga peluang terbaik untuk mencetak gol, namun disia-siakan oleh Park Tae-su, Baddrol Bakhtiar dan Neto Pessoa. Minit ke-6, tandukkan Park Tae-su hanya melewati palang sebelum giliran kapten, Baddrol Bakhtiar turut melepaskan peluang dengan rembatan melepasi palang pada minit ke-36.
Sepakan penalti yang gagal disempurnakan Neto Pessoa di penghujung babak pertama mungkin ‘turning point’ kepada kedua-dua pasukan terutamanya penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi berkaitan moralnya.
Ini kerana, di babak kedua, beliau terus mempamerkan ketangkasannya menafikan gol penyamaan tuan rumah menerusi rembatan kaki kiri Neto Pessoa di minit ke-65, sebelum menepis sepakan percuma Saddil Ramdani.
“Sudah tentu ini satu keputusan yang mengecewakan. Dan kita harus bersiap sedia kembali dalam masa tiga, empat hari sebelum kita bermain dengan PJ City. Masih terlalu awal untuk saya tentukan [pemain].
“Ini baru perlawanan pertama dan sebelum ini dalam perlawanan persahabatan, beliau mampu jaringkan gol. Saya tahu ramai yang kecewa terutama dengan sepakan penalti Neto Pessoa tetapi bagi saya kita perlu memberi beliau satu hingga tiga perlawanan lagi untuk membuktikan [kemampuannya].
Kim Swee