Kim Swee Panggil Rivaldo Sertai Skuad Malaysia Bawah 21 Tahun

Skuad Malaysia bawah 21 Tahun kini dibarisi oleh beberapa muka baharu yang kurang dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Salah satu nama yang menarik perhatian daripada senarai pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat skuad itu ialah Rivaldo.

Namun, Rivaldo yang dimaksudkan itu bukan lagenda bola sepak Brazil, Rivaldo Vitor Borba Ferreira, tetapi pemain pertahanan skuad Piala Presiden Sarawak, Rivaldo Adrill Wilson Rentap.

Pemain berusia 20 tahun berasal dari Saratok, Sarawak yang dipanggil buat kali pertama ke kem latihan pusat skuad bawah 21 tahun negara.

“Ini adalah kali pertama saya dipanggil menyertai latihan di peringkat kebangsaan. Kejohanan besar bagi saya ialah Piala Belia pada tahun ini, sebelum beraksi di Piala Presiden musim ini.

“Saya perlu bekerja keras untuk terus mewakili negara di peringkat senior,” katanya kepada Bernama.

Pemain pertahanan skuad bawah (B)-21 tahun negara Rivaldo Adrill Wilson Rentap mengawal bola pada hari pertama sesi latihan di Padang Wisma FAM hari ini, sebagai persiapan menghadapi Piala Ulang Tahun PSSI 2018 di Stadium Pakansari, Jawa Barat, Indonesia pada 27 April hingga 6 Mei ini. FOTO: BERNAMA (2018) 

Beliau turut berkata, nama berkenaan diberikan oleh ibu bapanya sempena nama pemain lagenda Brazil itu yang pernah beraksi pada Piala Dunia 1998 di Perancis.

“Bagi saya nama ini telah menjadi biasa kerana ia memang dah jadi nama saya sejak kecil.

“Bagaimanapun, ia ada memberikan saya motivasi untuk mencipta nama seperti Rivaldo di arena bola sepak antarabangsa satu hari nanti. Saya belum mendapat peluang untuk bertemu dia, tetapi ada mengikutinya di media sosial,” katanya.

Rivaldo, bekas pemain sayap dan tengah Brazil itu, adalah antara gandingan utama Ronaldo dan Ronaldinho yang digelar ‘the three R’s’ yang membantu negara Amerika Selatan itu mara hingga ke final Piala Dunia 1998 di Perancis tetapi tewas 0-3 kepada tuan rumah, sebelum bangkit menjuarai edisi 2002, di Korea Selatan dan Jepun.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Penjaga Gol skuad B-23 negara, Yong Wai Hwang menjelaskan kem latihan selama 10 hari adalah sebagai persiapan untuk tiga kejohanan utama iaitu Piala Ulang Tahun PSSI 2018 di Stadium Pakansari, Jawa Barat, bermula 27 April-6 Me, kelayakan Kejohanan AFC B-23 dan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.

“Ketika peninjauan kita telah menyenaraikan seramai 42 pemain… 26 pemain yang dipanggil ini adalah pemain yang terbaik daripada senarai itu. Tujuan utama kem ini adalah untuk mengenal pasti pemain utama untuk beberapa kejohanan dalam tempoh dua tahun ini.

“Mereka akan beraksi di Kejohanan PSSI, yang juga kejohanan pra Sukan Asia menentang pasukan B-23 dari Indonesia, Bahrain dan Korea Utara .

“Kita beri peluang untuk pemain-pemain ini yang tidak pernah dipanggil untuk skuad B-23, di mana sekiranya mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, mereka berpeluang beraksi di Sukan Asia nanti,” katanya.

Yong bersama Penolong Jurulatih, Khan Hung Meng akan mengendalikan kem latihan pusat itu, sementara menunggu Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan seorang lagi Penolong Jurulatih, Brad Maloney pulang daripada program kejurulatihan selama sebulan di Madrid, Sepanyol.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN