Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengatakan yang mereka terasa bagai ‘dirompak’ oleh badan penganjur Liga Malaysia, malam tadi.
Sabah terlepas slot untuk ke Piala AFC 2023 selepas tunduk kepada juara ‘triple hat-trick’, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan turun ke tangga ketiga liga.
Seperti yang dimaklumkan oleh operator Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL), slot kedua untuk ke Piala AFC adalah buat juara Piala Malaysia yang hanya akan diketahui pada penghujung musim ini.
Jadi, jika juara Piala Malaysia adalah sama ada JDT atau Terengganu FC, barulah Sabah akan mengesahkan kelayakkan mereka. Itu kaedahnya.
Ia dihebahkan lewat petang semalam, sebelum aksi terakhir Liga Super 2022 berlangsung pada sebelah malam. Baru umum atau sudah umum?
“MFL berharap tiada kekeliruan timbul berhubung penentuan slot-slot AFC tahun 2023 memandangkan pemakluman menerusi surat pekeliling sudah dihantar kepada semua pasukan yang bertanding sebelum musim 2022 bermula.”
“Malah penerangan mengenai penentuan slot ACL 2023 dan AFC Cup 2023 juga turut dibuat menerusi Taklimat Pegawai Operasi Kelab pada 20 Januari 2022 dan Taklimat Ketua- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 28 Februari 2022.”
Kenyataan media MFL
Kim Swee luah kecewa Sabah seperti ‘dirompak’ oleh pengelola liga
"Kita sepatutnya sudah layak jika tidak ada perubahan pada saat akhir daripada MFL."https://t.co/qqMIVLiTel pic.twitter.com/PO8RNxE8nk
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 15, 2022
Jika berpandukan kenyataan pengendali tersebut, sepertinya kelab tidak dimaklumkan awal tentang proses bagaimana penentuan slot ke AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC bagi musim 2023. Apa katanya?
“Seluruh negeri Sabah bagaikan dirompak dengan penjelasan yang dilakukan MFL. Kami sepatutnya sudah meraikan kejayaan ke Asia tetapi perkara yang sebaliknya berlaku dan saya kasihan dengan para pemain dan juga penyokong Sabah FC.”
” Kita sepatutnya sudah layak jika tidak ada perubahan pada saat akhir dari MFL. Saya masih belum puas hati kerana tidak layak ke Piala AFC.”
Datuk Ong Kim Swee, Flash Sukan
Malah, sebelum ini, pemain juga seperti keliru apabila dapat dilihat apabila pertahanan Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan dipetik berkata kepada Harian Metro tentang situasi mereka untuk layak ke pentas Asia 2023.
“Berdasarkan kedudukan di tempat ketiga Liga Super ketika ini, kami berpeluang untuk merebut tiket ke saingan Piala AFC musim depan.”
“Mengikut format, pasukan yang menduduki tempat kedua dan ketiga layak ke saingan AFC itu dengan syarat JDT kekal menjulang kejuaraan Liga Super musim ini, sekali gus mereka akan beraksi di ACL 2023.”
#bolatime #seremban Selepas melakar 10 kemenangan daripada 18 perlawanan, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu menamatkan baki empat perlawanan Liga Super musim ini dengan keputusan positif.https://t.co/5BnqsHQK1q
— Harian Metro (@hmetromy) September 22, 2022
Jelas, seperti ada masalah komunikasi antara MFL dan kelab. Malah, pihak media juga seperti tenggelam punca dalam isu ini apabila mengeluarkan artikel, slot Piala AFC akan diberikan kepada tangga ke-2 dan ke-3 liga.
Hasil semakan berita-berita yang diterbitkan di laman sesawang MFL pada Januari lalu, tiada artikel mengenai penentuan slot ke ACL dan Piala AFC untuk musim 2023. Tidak seperti tahun sebelumnya, terdapat artikel yang menjelaskan mengenai penentuan slot untuk kedua-dua kejohanan.
Oleh yang demikian, adakah benar, pihak kelab sedia maklum mengenai penentuan slot seperti dakwaan MFL? Atau seperti yang didakwa oleh Kim Swee – Sabah ‘dirompak’, selepas perlawanan menentang JDT?
Sabah tewas 0-3 kepada JDT dan turun ke tangga ke-3 Liga Super 2022 apabila pencabar, Terengganu FC menang 3-1 ke atas Kedah Darul Aman.
Terengganu sah akan menjadi wakil pertama ke Piala AFC dan wakil kedua hanya akan ditentukan selepas berakhirnya kempen Piala Malaysia nanti.