Harapan untuk melihat kelibat Datuk Ong Kim Swee dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) akhirnya tidak kesampaian selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) itu sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM.
FAM tidak menyambung kontrak jurulatih kelahiran Melaka itu sejurus sahaja skuad muda negara tersingkir di peringkat kumpulan di kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina pada Disember lepas. Namun demikian, jodohnya bersama FAM nampak begitu kuat.
Ura-ura mengenai perlantikan Kim Swee ke jawatan tersebut telah pun kedengaran sejak penghujung Disember lalu. Ia membuktikan FAM masih menagih khidmat beliau yang boleh dianggap salah seorang individu yang cukup mahir dengan rencam bola sepak negara ini.
Memetik laporan Bernama, Kim Swee yang ditemui pemberita selepas sesi ‘post-morterm’ Sukan SEA 2019 melibatkan sukan bola sepak di Majlis Sukan Negara (MSN) bagaimanapun membaeri bayangan bahawa beliau tidak akan menggalas tanggungjawab itu dalam tempoh yang lama kerana kontraknya untuk jawatan tersebut ketika ini hanya untuk tempoh setahun sahaja.
“Sudah tentu tugas saya tertumpu kepada pembangunan bola sepak di negara kita. Saya harap dengan adanya saya dalam unit ini, dapat membantu serba sedikit tentang pembangunan belia kita.
“Di peringkat pembangunan kita harus tahu ia memerlukan masa dan saya tidak akan berada di sini selama-lamanya, tetapi pembangunan pemain akan berlaku untuk masa yang panjang,” katanya.
Antara perancangan Kim Swee dalam masa terdekat adalah bekerjasama rapat dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) serta Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) bagi memperkemaskan sistem pembangunan di peringkat akar umbi.
“Saya akan bekerjasama dengan Saad (Ichalalene) untuk merangka beberapa program, mengikut hala tuju FAM, AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA. Semua program pembangunan belia memerlukan masa yang panjang,” tambahnya.
Mengenai hasil ‘bedah siasat’ mengenai kegagalan skuad bimbingannya di Filipina, Kim Swee menegaskan tujuan diadakan sesi itu bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, tetapi bagi membuat penilaian di manakah kelemahan yang perlu diatasi dan membuat perancangan agar ianya tidak berulang pada masa hadapan.
“Sesi ‘post-morterm’ ini bukan untuk menunding jari. Apa yang berlaku di Sukan SEA, saya telah terangkan sebelum ini jadi saya tak nak menyentuh mengenai penyebab kegagalan, yang dibincangkan di dalam.
“Tetapi kita (FAM) mempunyai dua perancangan: A dan B untuk Sukan SEA akan datang, tetapi terpulang kepada pihak atasan untuk tentukan sama ada kita ingin dapatkan keputusan yang baik, atau kita inginkan pendedahan,” katanya.
FAM pada minggu lepas telah pun mengumumkan penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, S. Balachandran sebagai pengganti Kim Swee. Pengendali skuad senior, Tan Cheng Hoe pula telah ditugaskan untuk memantau latihan skuad muda negara berkenaan.