Datuk Ong Kim Swee Congak Strategi Berdepan Isu Kecergasan Pemain

Ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan bahawa kecergasan pemain menjadi aspek terpenting yang perlu diperhatikan oleh beliau dan barisan kejurulatihan dalam latihan pusat fasa akhir menjelang Sukan SEA 2017 yang akan membuka tirai pada 14 Ogos ini.

Sebahagian pemain yang telah melaporkan diri di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Ahad lalu tampak tidak bermaya dan keletihan kerana telah mengharungi begitu banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat.

Ini jelas meresahkan Kim Swee dan sudah menyediakan rancangan khas untuk pemain-pemain terlibat.

Memetik kata-kata Kim Swee kepada akhbar Utusan, beberapa pemain telah melalui 12 atau 13 perlawanan dalam tempoh 40 hari dan dilihat gagal beraksi dengan baik dalam perlawanan terakhir sebelum liga berehat untuk memberikan laluan kepada persiapan Sukan SEA.

“Seperti kata ramai jurulatih pasukan liga, beberapa pemain tidak berfungsi baik kerana keletihan dan bermain begitu banyak perlawanan,” ulas Kim Swee sambil memaklumkan beliau akan memberi rehat tambahan tiga atau empat hari kepada pemain yang telah banyak beraksi di dalam liga, sebelum beliau memulakan latihan intensif.

“Jadi, saya perlu nilai sejauh mana keletihan mereka itu. Namun (latihan pusat) kali ini saya mendapat lebih banyak pilihan pemain termasuk enam yang kembali (selepas tidak bersama skuad kelayakan Kejohanan AFC B-23 2018, bulan lalu),” tambahnya lagi.

Menurut Kim Swee lagi, alternatif dan kelebihan untuknya kali ini adalah terdapat pemain yang boleh bermain lebih daripada satu posisi.

Antara pemain-pemain yang boleh bermain lebih daripada satu posisi adalah seperti Ariff Farhan Md Isa (pertahanan dan sayap), Syamer Kutty Abba (tengah dan penyerang) dan juga pastinya, Adam Nor Azlin.

Selangor player Adam Nor Azlin (R) and Malacca player Puaneswaran Gunasekaran during Super League match at Selayang Stadium on 27 January 2017. Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Pemain serba boleh untuk pasukan Selangor, Adam Nor Azlin pernah beraksi di semua posisi kecuali di gawang gol sepanjang kariernya setakat ini.

Untuk musim ini, beliau telah diberikan peluang oleh ketua jurulatih Selangor, P. Maniam untuk membentuk gandingan tiga pertahanan dan jelas perubahan ini memberikan kelebihan buat dirinya dan juga skuad Harimau Muda.

“Saya bersyukur segala-galanya berjalan lancar pada tahun ini, terutamanya selepas membuat keputusan untuk beraksi di posisi pertahanan. Ia membantu saya mendapat lebih banyak masa bermain,” akui Adam Nor Azlin yang kini kian selesa beraksi di posisi pertahanan kepada wartawan FourFourTwo.

Dalam kelayakan Kejohanan AFC B-23 2018 yang lalu, Adam Nor Azlin dilihat cukup selesa beraksi di benteng pertahanan bersama kapten pasukan, Adib Zainuddin, Irfan Zakaria dan juga Ariff Farhan.

Cuma dalam perlawanan terakhir menentang Mongolia, beliau digandingkan bersama Irfan Zakaria dan dua pemain lain iaitu Syazwan Zaipol Bahari dan Fauzan Fauzi.

Kesimpulan

Walaupun berdepan dengan masalah kecergasan pemain, diharapkan Kim Swee dan anak-anak buahnya tetap bersemangat menjelang aksi pembukaan menentang Brunei pada 14 Ogos nanti.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Kim Swee membuat keputusan mengenai senarai akhir pemain yang bakal membawa cabaran skuad Harimau Muda ke  Sukan SEA 2017.

Dengan adanya beberapa pemain yang boleh beraksi lebih daripada satu posisi seperti Ariff Farhan, Syamer Kutty Abba dan Adam Nor Azlin, ia secara tidak langsung telah membantu Kim Swee dalam merencana dan mencongak senarai pemain yang bakal dipilihnya.

Sumber rujukan:

  1. Utusan (2017): Kim Swee Resah Pemain Keletihan; https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-resah-pemain-keletihan-1.511959
  2. Vijhay Vick, FourFourTwo (2017): SEA Games: Adam Nor Feeling At Home In Central Defence; https://www.fourfourtwo.com/my/features/sea-games-adam-nor-feeling-home-central-defence

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN