Semalam skuad B-23 negara mencipta sejarah pada penampilan sulung dalam Kejuaraan AFC B-23 apabila berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir setelah menumpaskan Arab Saudi 1-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Kunshan, China.
Pemain Felda United, Danial Amier Norhisham muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke 28.
Kejayaan membanggakan itu menjadi sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia.
Bercakap mengenai kejayaan itu, pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee sentiasa memberi kepercayaan kepada pemain untuk mengharumkan nama negara di mata asia.
“Saya mempercayai para pemain sejak awal lagi. Saya tidak pernah meragui kemampuan dan mereka telah membuktikan perkara ini.
“Hari ini (malam tadi) Malaysia telah melakarkan sejarah baharu. Semangat kita kian meningkat untuk melangkah lebih jauh,” katanya seperti dipetik dalam akhbar Kosmo
Dalam perlawanan itu, Arab Saudi lebih menguasai perlawanan dan kerap mengasak kubu Malaysia tetapi masih gagal menemui jaringan gol.
Ini kerana Malaysia telah membentuk satu unit pertahanan yang kental bagi menyerap tekanan yang memuncak sepanjang perlawanan terutamanya pada separuh masa pertama.
Arab Saudi semakin tertekan apabila Hamdan Al Shamrani dilayangkan kad merah pada babak-babak akhir permainan dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat permainan.
“Saya tidak mahu komen mengenai corak permainan pasukan kerana dalam perlawanan ini, keputusan perlawanan lebih penting.
“Kita tahu Arab Saudi akan menyerang habis-habisan selepas kita mendahului dengan satu gol tetapi pemain saya menunjukkan disiplin yang tinggi ketika bertahan,” katanya kepada sidang media selepas perlawanan.
Malaysia akan bertemu pasukan juara kumpulan D dalam saingan suku akhir yang dijadualkan pada 20 Januari 2018.
Dalam kumpulan D yang dijadualkan bermain hari ini, Korea Selatan atau Vietnam dijangka akan menjadi lawan Malaysia di peringkat suku akhir.