Kim Pan-gon Tak Tahu Kekuatan Serangan Baharu JDT

Pengendali Ulsan HD, Kim Pan-gon nampaknya bakal membuat perhitungan buat julung kalinya bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) selepas kedua pasukan itu diundi bersama.

Di media sosial, ramai menyatakan jodoh Kim bersama bola sepak di Malaysia masih kuat kerana pasukan kendalian beliau diundi bertemu JDT untuk saingan musim ini.

Lebih menarik, ia merupakan pertemuan kali ketiga berturut-turut membabitkan kedua kelab itu di pentas ACL dengan masing-masing mempunyai kisah tersendiri terdahulu.

Manakala, ia merupakan pertemuan sulung buat Kim yang sebelum itu sah dilantik selaku pengendali baharu kelab gergasi dari Korea Selatan itu musim ini.

Kim yang melepaskan jawatan beliau selaku jurulatih utama Harimau Malaya dianggap sudah pun mengetahui selok belok pemain serta corak permainan diamalkan selepas berada di sini selama beberapa tahun.

Malah, ada beranggapan ia merupakan peluang terbaik buat Kim untuk menghadapi JDT kerana sesetengah beranggapan beliau mengetahui latar belakang pemain pasukan tersebut.

Walaupun menyedari Ulsan HD tampil dengan sentuhan baharu era kejurulatihan Kim, jelas JDT tidak menganggap ia sebagai masalah untuk mereka hadapi pada saingan nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT iaitu Alistair Edwards, beliau menyifatkan Kim tidak mengetahui tentang kekuatan serangan baharu JDT kini.

“Ini adalah kali ketiga berturut-turut kita diundi dengan Ulsan dan jika melihat rekod lalu, JDT mampu berikan saingan dengan meraih keputusan positif ketika menentang mereka.

“Mengenai Pan-gon, saya rasa kedua-dua pihak memiliki kelebihan kerana banyak pemain kami dalam skuad kebangsaan yang mengetahui dengan taktikal Pan-gon dan begitu juga sebaliknya.

“Mungkin tiada kejutan tetapi saya jangka dia (Pan-gon) tidak tahu dengan kekuatan jentera serangan baharu kami.

“Apa yang pasti, kami gembira apabila dua kelab yang memiliki sejarah hebat dapat bertemu di peringkat tertinggi kali ini,” katanya menerusi laporan Harian Metro.

Rekod petemuan musim menyaksikan kedua pasukan tampil seimbang dengan JDT dan Ulsan HD masing-masing berjaya meraih satu kemenangan dan ia menarik untuk terus diperkatakan pada musim ini.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN