Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon tampil dengan membuat permohonan maaf selepas skuad kendaliannya gagal untuk mendapat sebarang kemenangan dalam dua aksi Piala Asia 2023.
Terbaharu, hasrat untuk penyokong negara memperoleh sekurangnya satu mata tidak kesampaian selepas pasukan itu ditewaskan oleh Bahrain menerusi keputusan penuh 0-1 bagi aksi kedua peringkat Kumpulan E.
Secara dasarnya, Malaysia sudah pun tidak layak untuk ke pusingan seterusnya selepas mereka gagal memperoleh sebarang mata terutamanya pada aksi ini.
Maka, sudah tentu Kim berasa sangat kecewa dengan situasi tersebut yang gagal untuk menggembirakan hati para penyokong pasukan negara di pentas Asia.
Jelas Kim, beliau sangat kagum dengan para penyokong Harimau Malaya yang hadir ke sana secara beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada mereka.
Disebabkan itu, beliau merasa begitu bersalah akan pengorbanan dilakukan oleh para penyokong negara untuk hadir ke sana dan membuat permohonan maaf.
Malah, beliau sendiri juga mengakui sukar untuk menerima keputusan tersebut kerana mereka hanya perlu menunggu beberapa minit sahaja lagi pada aksi tersebut untuk mendapatkan satu mata.
“Ramai penyokong yang datang menyokong kami dan rakyat Malaysia berikan sokongan yang hebat. Sekali lagi saya sebagai jurulatih memohon maaf.
“Saya menghargai usaha yang dilakukan pemain dan perlawanan malam ini menunjukkan di mana kami berada sekarang. Sebagai jurulatih, sangat sukar untuk menerima keputusan ini,” katanya menerusi petikan Berita Harian.
Ketika ini Malaysia berada di dasar Kumpulan E menerusi dua kekalahan tanpa sebarang gol dicatat jika dibandingkan Jordan, Bahrain, dan Korea Selatan.
Aksi seterusnya menyaksikan Malaysia bakal membuat perhitungan seterusnya menentang Korea Selatan yang dianggap jauh lebih mencabar untuk dihadapi pasukan kebangsaan.
Walaupun begitu, pastinya skuad kendalian Kim tidak ingin untuk terus menjadi pasukan belasahan dengan misi membawa pulang sekurangnya satu mata pasti akan cuba diraih sebelum mereka pulang ke Malaysia.
Pada pandangan anda, adakah misi untuk pasukan kebangsaan meraih mata berjaya direalisasikan pada aksi terakhir Kumpulan E berdepan cabaran Korea Selatan ini?