Nama Kim Pan-gon sebelum secara tiba-tiba timbul di media sosial dalam kalangan netizen, apabila beberapa khabar angin menyatakan masa depan beliau bersama pasukan kebangsaan bakal berakhir.
Malah, ada khabar menyatakan Kim berkemungkinan akan kembali semula menyertai Persatuan Bolasepak Korea (KFA) selepas prestasi hebat dipamerkan beliau ketika menentang Korea Selatan pada aksi Piala Asia 2023 di Qatar.
Kenyataan-kenyataan di media sosial itu jelas mengundang kerisauan buat sekelompok besar penyokong bola sepak tempatan yang ingin sentuhan jurulatih itu terus menghasilkan magis buat Harimau Malaya.
Tampil menjawab persoalan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hadir mengesahkan perkara tersebut tidak berlaku dengan masa depan Kim akan terus kekal buat skuad kebangsaan.
Menurut Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku Timbalan Presiden FAM, beliau menafikan khabar angin kononnya KFA ingin kembali mendapatkan Kim bersama mereka dalam tempoh masa terdekat.
Jelas beliau, FAM juga memiliki perancangan tersendiri untuk memastikan prestasi pasukan kebangsaan dapat meningkat bawah kendalian Kim bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 akan datang.
“Buat masa sekarang tiada permintaan rasmi daripada KFA untuk mendapatkan semula khidmat Pan-gon untuk dipanggil semula ke Korea Selatan tatkala perlawanan (kelayakan Piala Dunia) menentang Oman terlalu hampir.
“Malah, KFA yang mencalonkan Pan-gon kepada kami sebelum ini dan saya rasa tak mungkin pihak mereka panggil kembali ketika usaha serta perubahan yang dibawanya agak ketara,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Kim juga dilaporkan sudah pun menandatangani kontrak lanjutan bersama FAM dengan perancangan jangka masa panjang sudah pun dibuat demi masa depan bola sepak negara.
“Kita juga sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan Pan-gon serta ada perancangan jangka panjang dengan Pan-gon.
“FAM harap kita dapat teruskan momentum pada kempen Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti,” katanya akhir sekali mengenai masa depan Kim buat pasukan kebangsaan.
Sejak Harimau Malaya berada bawah kendalian Kim, jelas pelbagai perubahan baharu dapat dirasai oleh penyokong bola sepak negara terutama sekali daripada segi corak permainan di pentas antarabangsa.
Malah, Harimau Malaya juga menjadi antara pasukan paling menonjol daripada segi peningkatan ranking mereka, ekoran beberapa kemenangan dicipta terutama sekali dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026.