Amaran keras oleh kerajaan Qatar terhadap pendukung gerakan LGBT semakin ketara apabila mereka akan memberikan hukuman berat jika ada diantara golongan tersebut yang melanggar peraturan tempatan.
Antara adalah dengan menjatuhkan hukuman penjara maksimum 11 tahun kepada mana-mana penyokong bola sepak yang mengibarkan bendera LGBT ketika menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022.
Kerajaan Qatar berkata demikian kerana tidak mahu sebarang gerakan LGBT diperluas dekat negara tersebut terutamanya ketika kejohanan terulung bola sepak itu diadakan.
Menurut Egypt Independent, Qatar mengalu-alukan kehadiran setiap penyokong bola sepak ke Piala Dunia 2022 akan tetapi mereka harus menghormati budaya tempatan.
“Sesiapa yang mengibarkan bendera LGBT di Piala Dunia, akan ditangkap dan dipenjara selama 7-11 tahun.
“Kami di sini sebagai negara Islam dan anda perlu menghormati agama kami, kepercayaan dan budaya,” jelas penyelia keselamatan Piala Dunia 2022, Abdul Aziz Abdullah al-Ansari.
https://twitter.com/kunafa_says/status/1540734650867322880?s=20&t=brwrrjhNCKPk2u5nZRgDqA
Selain larangan mengibarkan bendera LGBT, Qatar juga mengharamkan pasangan sejenis dan juga yang belum berkahwin untuk mengadakan hubungan seks.
Seandainya mereka dicekup berbuat demikian, pihak berkuasa Qatar mempunyai hak untuk menghukum mereka dengan jumlah penjara yang dinyatakan tadi.
Tetapi, pasangan sejenis berpotensi untuk menerima hukuman lebih teruk dengan hukuman mati boleh menanti mereka.
Dalam masa yang sama, Qatar juga mengharamkan mana-mana pihak untuk melakukan one night stand ketika berada di negara tersebut.
Masuk kandang kambing, mengembek
Tindakan yang dilakukan oleh Qatar ini jelas sekali tidak disenangi oleh majoriti penyokong bola sepak yang bukan beragama Islam dan tidak berasal dari Asia.
Sungguh pun begitu, peraturan tetap peraturan, dan setiap yang hadir ke Qatar harus mematuhinya untuk mengelak daripada terkena hukuman berat.
Qatar masih membenarkan setiap orang untuk menyaksikan bola sepak berkualiti tinggi pada akhir tahun ini, cuma untuk menontonnya dengan aman mereka perlu patuh pada peraturan yang ditetapkan.
Penulis memahami yang peraturan yang dikenakan adalah bertentangan dengan gaya hidup bebas masyarakat Barat dan golongan LGBT yang sering rasakan diri mereka didiskriminasi.
Tetapi, bila masuk ke kandang kambing kenalah mengembek bukan? Bukannya menguak seperti kerbau pula.