Hasrat segelintir penyokong Selangor untuk melihat bekas penyerang kebangsaan, Mohd Safee Mohd Sali kembali ke Shah Alam pada musim depan tidak menjadi kenyataan setelah pemain itu memilih untuk kekal bersama pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City).
Perkara itu disahkan sendiri oleh Safee Sali yang bakal beraksi dalam musim keduanya bersama pasukan itu di saingan Liga Malaysia (Liga-M) sekaligus menamatkan segala spekulasi mengenai masa depannya selepas dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super sebelum ini.
Walaupun usianya telah menginjak 35 tahun, PJ City ternyata masih menagih khidmatnya sekalipun bisa penyudahnya di hadapan gol tidaklah setajam dahulu. Namun Safee Sali diharapkan mampu memimpin dan membimbing pemain-pemain muda dalam pasukan itu.
Safee Sali dalam temubualnya bersama Bernama turut memberi bayangan mengenai wajah baharu PJ City pada musim depan yang bakal menampilkan beberapa pemain baharu yang berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
“Siapa orangnya biarlah rahsia, tapi apa yang dapat saya katakan musim depan kita (PJ City) akan ada nama-nama besar arena bola sepak negara.
“Mereka akan membantu memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan pasukan-pasukan besar seperti Kedah, Johor DT dan Pahang,” katanya selepas kejohanan Piala Belia Eat Right To Play Right (ERTPR) anjuran syarikat insurans Zurich Malaysia.
Safee Sali dilantik menjadi duta program itu yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan nutrisi selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak.
“Seperti yang kita ketahui corak pemakanan seimbang perlu bagi seorang atlet mahu pun pemain bola sepak supaya sentiasa cergas dan cemerlang di padang.
“Sebagai duta program, saya berharap program ini yang memberi pendedahan mengenai kepentingan mengambil makanan bernutrisi di peringkat awal dapat diperluaskan termasuk di Sabah dan Sarawak supaya dapat melahirkan lebih ramai generasi yang lebih sihat dan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya lagi.