Khatul Anuar Kenang Pengorbanan Ibu

Khatul

‘Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya saudara masa berada, berkorban raga rela binasa, berkorban nyawa tanda kasihnya.’ Itulah bait-bait lirik lagu ‘Kasih Ibu’ yang dinyanyikan oleh raja pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah bagi menghargai jasa insan bergelar ibu.

Sebagai anak, kita pastinya mempunyai cara tersendiri dalam usaha untuk menggembirakan kedua ibu bapa walau apa jua cara sekalipun.

Sehubungan dengan itu, ciapan Twitter daripada penjaga gol pinjaman UKM FC, Khatul Anuar Md Jalil telah menarik perhatian wakil Semuanya BOLA yang menyaksikan beliau telah membelikan cincin baharu buat ibunya.

Perkongsian berserta video yang dimuatnaik oleh Khatul itu nyata membawa satu makna cukup mendalam buat penjaga gol berusia 22 tahun itu kerana ibunya pernah menggadaikan cincin untuk menghantarnya ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Johor pada tahun 2011.

Pengorbanan daripada seorang ibu itu kini telah dipermudahkan olehNYA dengan kurniaan rezeki buat Khatul sebagai pemain bola sepak profesional.

Ia memberikan isyarat jelas, setinggi mana kejayaan yang diraih janganlah melupakan jasa ibu bapa. Tambahan pula pada setiap doa mereka pasti terpahat nama anak-anaknya.

Khatul adalah merupakan anggota skuad Kuala Lumpur yang berjaya menjuarai saingan Liga Premier 2017 tetapi telah dipinjamkan ke UKM FC pada musim ini.

Beliau kemudiannya pantas memberikan sumbangan berkesan buat The Varsity Boys sehingga dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir Piala Cabaran 2019.

Kredit foto: KLFA Official

 

Leave a Reply