Selepas saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 dilancarkan secara rasmi oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu, legenda bola sepak tanah air, Khalid Ali telah menyuarakan pendapatnya bahawa tahap liga di negara ini masih berada di tahap yang tidak memuaskan.
Memetik laporan Sinar Harian, Khalid Ali dalam kenyataannya menjangkakan Liga-M akan terus hambar seperti mana yang berlaku pada musim-musim lepas terutamanya melibatkan kehadiran penyoong ke stadium disebabkan tiada daya tarikan yang cuba untuk ditampilkan oleh pasukan yang bertanding.
Tambahan pula, beberapa isu lain seperti masalah gaji serta penaja yang menarik diri juga menjadi peranan mengapa peminat bola sepak negara ini ‘meluat’ dan mula menjarakkan diri daripada memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan bola sepak tempatan.
Penyokong Seru Semua Pasukan Lebih Bijak Dalam Menarik Kehadiran Penyokong – https://t.co/ZEqWY39U8r pic.twitter.com/mJoCsBIFWw
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 6, 2020
“Bagi saya, Liga-M masih tidak berkualiti. Itu realitinya. Mungkin pasukan dalam kategori A Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Pahang, Perak, Terengganu dan Selangor mempunyai penyokong yang akan ke stadium dan mengikuti perkembangan pasukan.
“Namun, bagaimana pula dengan enam lagi pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Premier? Skripnya tetap sama seperti musim terdahulu dengan perlawanan yang berlangsung dalam stadium yang kosong,” soalnya.
Bagi melihat kepada punca yang lebih terperinci, Khalid menjelaskan antara faktor penyumbang kepada kehambaran Liga-M adalah disebabkan harga tiket yang dianggap membebankan penyokong sehingga mereka perlu berfikir beberapa kali sebelum memutuskan untuk pergi menonton perlawanan di stadium kerena mereka juga perlu memikirkan kos pengangkutan.
“Harga tiket mahal menyumbang kepada kehadiran penyokong ke stadium dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini. Sebagai contoh, harga sekeping tiket RM20 sebenarnya agak mahal kerana sekurang-kurangnya dua perlawanan berlangsung dalam sebulan.
“Penonton yang datang ke stadium tak semuanya berpendapatan tinggi dan mereka berkira-kira untuk membeli tiket walaupun untuk satu perlawanan. Ada rungutan yang kita dengar, perlawanan yang disaksikan tidak berbaloi dengan harga tiket yang dibeli.
Melaka United Perjelas Kenaikan Harga Tiket Perlawanan – https://t.co/xnwcnMyl0N pic.twitter.com/gav3l61u9H
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 10, 2020
“Saya juga melihat kualiti pemain import dalam liga ini tidak memberangsangkan dengan pasukan mengambil import yang tidak popular dan kurang memberikan impak kepada pasukan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Khalid berharap badan induk bola sepak negara iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL perlu berperanan dalam mencari penyelesaian terbaik agar penambahbaikan kepada kualiti liga di negara ini dapat mengembalikan kegemilangan yang pernah diraih seperti satu masa dahulu.
“Untuk pemain import, saya rasa faktor kekurangan dana dan gaji yang diminta menyebabkan sesebuah pasukan itu gagal mendapatkan pemain berkualiti. Jadi pada pendapat saya, MFL dan FAM perlu mencari solusi terbaik mengecilkan jumlah import untuk sesebuah pasukan selain menetapkan tangga gaji yang munasabah.
“Bagi harga tiket pula, setiap persatuan bola sepak perlu memikirkan harga yang lebih berpatutan supaya penyokong berkeupayaan membeli tiket. Lebih baik harga berpatutan dan penonton datang ramai ke stadium daripada tiket mahal, penonton langsung tak datang ke stadium,” tambahnya lagi.
Kredit Foto: NSTP