Lagenda bola sepak negara, Khalid Ali melaungkan keyakinan beliau terhadap wajah baharu barisan kepimpinan FAM yang diterajui oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai presiden – lapor Sinar Harian.
Beliau berasakan bola sepak negara sudah mula bergerak ke arah sudut positif yang diidamkan selama ini.
15 tahun
Namun begitu, bagi Khalid banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap bola sepak seperti gergasi Asia.
Baginya, kita memerlukan maksima 15 tahun untuk berjaya memperbaiki serta menakluki bola sepak Asia seperti yang dilakukan oleh Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi.
“Untuk sampai tahap Asia, mungkin kita perlu tempoh 10 atau 15 tahun.”
Kepercayaan tinggi
Khalid juga berkata yang kepercayaan tinggi perlu diletakkan kepada barisan kakitangan FAM yang ditugaskan dengan tugasan masing-masing.
Bagi Khalid, beliau tak rasa ia adalah satu keperluan untuk Presiden FAM memasang ‘mata-mata’ untuk memantau kerja yang dilakukan oleh para kakitangan FAM.
“Nak letak mata-mata dalam jawatankuasa saya risau ia boleh menjadi satu pertelingkahan atau kedustaan di dalam penyampaian kepada pihak atasan.”
“Jadi saya rasa ini semua tak perlu. Sekarang, pemimpin FAM perlu percaya bahawa individu atau Exco yang dipilih adalah mereka yang boleh bekerja dan membantu dalam meningkatkan bola sepak negara.”
Letak di tempat betul
Tambah Khalid lagi, barisan pimpinan atasan FAM cuma perlu meletakkan kakitangan yang bersesuaian dengan kebolehan mereka.
Baginya, jika kakitangan diletakkan ditempat yang betul maka hasil kerja akan dilakukan dengan baik dan cemerlang.
“Pada permulaan ini, FAM perlu meletakkan mereka berkemampuan dan mempunyai minat pada portfolio diberikan.”
“Tak bolehlah nak letak satu-satu Exco yang tak berminat dalam portfolio tersebut dan bekerja dalam keadaan terpaksa.”
“Itu akan menjadi kesukaran untuk dapat KPI yang baik dan beri kesan kepada persatuan di kemudian hari.”
Baca juga: Manchester United Mahukan Neymar, Dilaporkan Sudah Bertemu Ejen Pemain Tersebut