Kelmarin, presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu kenyataannya menerusi paparan video di laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers (JST) memberikan gambaran bahawa baginda akan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 25 Mac 2017 itu.
Tunku Ismail menyifatkan keputusan tersebut harus diambil kerana merasakan baginda tidak akan terlibat bagi mengepalai persatuan sukan paling popular di tanah air itu dalam tempoh yang begitu lama.
“Saya ialah presiden yang akan cuba mencari duit untuk pasukan supaya dapat bertanding tanpa bebanan, betulkan struktur dan cuba buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.”
”Selepas itu saya mengharapkan ada satu presiden baharu, Superman jadi Presiden FAM kerana saya tidak lama (sebagai presiden).”
Mengulas mengenai bilakah baginda akan melepaskan jawatan tersebut dan Tunku Ismail berkata: “Saya akan lepaskan jawatan sebagai Presiden FAM mungkin pada 2018 atau 2019. Ia bergantung tetapi lebih cepat lebih baik,”
Mengulas tentang perkara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berpendapat Tan Sri Tony Fernandes boleh menjadi ‘Superman’ yang mampu menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Tunku Ismail adalah Captain America dan agak sukar untuk beliau lakukan perubahan drastik dalam tempoh singkat. Jika benar Tunku Ismail mahu melepaskan jawatan, saya lihat tidak ada orang lain yang berkelayakan kecuali Tan Sri Tony Fernandes.
“Berdasarkan pengalaman dan kredibilitinya, saya lihat Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad itu paling sesuai. Beliau ada pengalaman dalam bidang perniagaan dan pengurusan pasukan,” katanya kepada Harian Metro.
Namun begitu, Khalid masih mengharapkan Tunku Ismail kekal menerajui FAM dan bergabung dengan Tony Fernandes untuk memajukan bola sepak negara.
“Saya masih berharap Tunku Ismail tidak lepaskan jawatannya itu. Malah saya percaya kalau ‘Captain America’ dan ‘Superman’ bergabung, ia pasti lebih baik buat bola sepak Malaysia,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga merupakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu disuarakan dalam sedutan video berkenaan azam Tunku Ismail sebagai Presiden FAM bermula daripada minit 3:49 sehingga minit 4:17.
Walaupun mendapat kecaman dari banyak pihak mengenai persembahan skuad negara, Tunku Ismail dilihat telah memberikan nafas baru dalam pentadbiran FAM yang sebelum ini lebih teruk dikecam pelbagai pihak.
Seandainya Tunku Ismail benar-benar mahu melepaskan jawatannya, bola sepak negara akan berdepan masalah dalam mencari pengganti yang benar-benar sesuai dalam meningkatkan mutu pengurusan dan kualiti bola sepak negara.