Lagenda bola sepak negara, Khalid Ali menyifatkan undang-undang perpindahan pemain Liga Malaysia yang sangat longgar menjadi punca ramai pemain tempatan berpindah randah sesuka hati walaupun masih mempunyai kontrak dengan pasukannya.
Beliau berkata demikian dalam Utusan Malaysia menjelaskan kontroversi perpindahan pemain sentiasa akan berlaku sehingga lima tahun akan datang selagi tidak dikaji dan diperbaiki dengan segera.
“kita tidak boleh salahkan pemain jika timbul isu mereka berpindah pasukan (sebab) undang-undang bola sepak profesional kita sejak tahun 1992 masih begitu longgar dan tidak ditegaskan,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai perpindahan kontroversi bintang muda Kedah, Akhyar Rashid ke pasukan JDT, Khalid menyokong sepenuhnya pilihan Akhyar kerana JDT merupakan pasukan idaman semua pemain Malaysia.
“Kalau banyak pasukan lain sudah bermasalah, tentulah pemain ini akan cari kemudahan, masa depan dan tempat yang terbaik untuk karier iaitu JDT (Johor Darul Ta’zim). Di sinilah tempat idaman semua pemain di Malaysia sekarang.
“Karier bola sepak pun tidak panjang, hanya dalam 10 hingga 13 tahun. Kita kena terima hakikat mereka perlukan gaji dan pasukan yang terbaik untuk menampung kehidupan apabila sudah bersara nanti.
“Mungkin mereka juga pilih JDT sebagai saluran ke peringkat lebih tinggi di Asia seperti ke Jepun dan Korea (melalui Liga Juara-juara Asia),” jelasnya.
Walaupun JDT dibanjiri oleh beberapa pemain bintang kebangsaan dan pemain import yang berkualiti, Khalid yakin Akhyar akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama jika pemain tersebut berusaha gigih dalam sesi latihan.
“kalau kekal di Kedah mungkin dia dapat main banyak perlawanan tetapi JDT pun ada program untuk menyalurkan pemain semudanya.
“Jika bukan JDT I, mungkin boleh ke JDT II (Liga Perdana) atau III (skuad Piala Presiden),” katanya.