Ketiadaan Khairulazhan Khalid menyaksikan Khairul Fahmi Che Mat bakal menggalas tugas sebagai benteng akhir skuad Harimau Malaya dalam sekurang-kurangnya dua perlawanan pertama di Piala AFF Suzuki 2020.
Khairulazhan dan pemain sayap, Faisal Halim telah didapati positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi dan akan dikuarantin 10 hari.
Perkara ini telah disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi selepas kelibat kedua-dua pemain tidak kelihatan semasa skuad kebangsaan meninjau keadaan padang di Stadium Bishan, Singapura, pagi tadi menjelang aksi sulung Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2020 bertemu Kemboja, 5.30 petang esok.
“Dua pemain berkenaan – Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak bergejala,” memetik kenyataan di laman Facebook FAM.
“Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini,” tambah kenyataan itu sambil menjelaskan aksi pertama akan tetap diteruskan.
Ketiadaan kedua-dua pemain tidak menjejaskan persediaan pasukan kerana pengendali, Tan Cheng Hoe masih memiliki baki 21 pemain untuk dipilih bagi perlawanan menentang Kemboja nanti. Untuk posisi sayap, terdapat banyak pilihan yang masih boleh dipilih Cheng Hoe mengikut kesesuaian taktikal pasukan dalam aksi esok.
Cuma untuk posisi penjaga gol, di antara Khairul Fahmi dan Kalamullah Al-Hafiz, sudah tentu pilihan yang ada cuma Khairul Fahmi dek kerana Kalamullah Al-Hafiz masih belum pernah diturunkan dalam aksi antarabangsa.
Setelah agak lama diketepikan, Khairul Fahmi kembali ke gawang untuk tempoh 90 minit buat Harimau Malaya pada Oktober lalu ketika Malaysia dibelasah Uzbekistan 1-5 dalam aksi persahabatan. Beliau pernah tampil dalam dua perlawanan awal Piala AFF Suzuki 2018 – menang 3-1 ke atas Laos dan tewas 0-2 kepada Vietnam.
Jika dilihat, Khairulazhan mungkin pilihan pertama selepas ketiadaan Farizal Marlias dalam skuad akhir, namun sedikit melegakan apabila penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi masih ada di bangku simpanan.
Skuad kebangsaan merupakan pasukan terakhir yang tiba di Singapura dan dengan masa pendek yang dimiliki, perkhabaran ini jelas sedikit merentap semangat di kem Harimau Malaya. Namun, diharapkan para pemain akan kekal positif menjelang aksi berdepan Kemboja, bukanlah disahkan positif COVID-19 di saat akhir lagi.