Laporan Harian Metro semalam menyebut kapten Kedah, Khairul Helmi Johari tegas memberitahu:
“Tiada maaf bagimu, kita jumpa di mahkamah”
Ini selepas pemilik Facebook. Muhammad Ridzwan tampil dengan video permohonan maaf beberapa hari yang lalu.
Muhammad Ridzwan adalah individu yang memuat status menuduh jurulatih Kedah dan 6 pemain Kedah termasuk Khairul Helmi mengambil rasuah. Itu yang kononnya menjadi punca kenapa Kedah tewas pada final.
Ridzwan memberitahu, dia tiada niat menuduh pemain-pemain dan jurulatih mengambil rasuah. Cuma dia emosi dan mengeluarkan kenyataan tersebut di Facebook.
Dalam kenyataan maaf, Ridzwan menyatakan dia sudah menghubungi beberapa media untuk membuat kenyataan terbuka tetapi gagal. Akhirnya dia membuat laporan polis tentang perkara itu.
Ini adalah video Muhammad Ridzwan yang bertutup muka meminta maaf.
Mungkin Muhammad Ridzwan tidak tengok perlawanan itu, pasukan Kedah bermati-matian mahu mengejar selepas ketinggalan awal babak perlawanan.
Khairul Helmi menyatakan beliau bukan seorang pendendam tetapi beliau tidak boleh memaafkan Ridzwan kerana tuduhan itu terlalu berat.
“Tuduhan itu bukan sahaja mencemar maruah malah boleh memusnahkan karier bola sepak saya. Bayangkan jika Kedah termakan dengan fitnah itu dan menamatkan kontrak saya, apa saya nak buat?”
“Jadi, tidak semudah itu untuk saya memaafkan walaupun dia sudah membuat permohonan maaf secara terbuka melalui video yang disebarkan.”
“Pesanan saya kepada dia, berani buat, berani tanggung. Saya akan saman, sediakan saja duit untuk bayar ganti rugi, paling tidak saya akan tuntut RM200,000.”
“Saya rasa kawan yang lain pun akan mengambil tindakan sama. Jadi, bersedialah jumpa kami di mahkamah.”
“Saya bukan berdendam tapi mahu menjadikan kes ini sebagai pengajaran kepada orang lain supaya jangan main sedap mulut menuduh pemain mengambil rasuah.”
Khairul Helmi menganggap tindakan Ridzwan itu tidak ikhlas kerana menyorokkan mukanya ketika meminta maaf. Ridzwan berselindung di sebalik topi, kaca mata hitan dan menutup mulutnya.
“Mengapa dia perlu melindungi identitinya? Adakah dia malu atau takut untuk mendedahkan dirinya yang sebenar?”
“Kalau dia ikhlas mahu memohon maaf, tidak perlu menyorokkan wajahnya. Malah, jika dia benar-benar ikhlas, sepatutnya datang berjumpa kami serta memohon maaf secara berdepan.”
Kerana pulut santan binasa, kerana status FB badan binasa. Berhati-hatilah kita semua dalam memuat naik status di medua sosial.