Muhamad Ridzwan menjadi nama yang mengisi ruangan berita akhbar di Malaysia selepas kontroversi menuduh Nidzam Adzha dan 6 pemain Kedah menerima rasuah ketika final Piala Malaysia 2017.
Selepas itu Nidzam Adzha membuat laporan polis dan mencabar Muhamad Ridzwan tampil minta maaf, atau dia akan berhadapan dengan tindakan perundangan.
Muhamad Ridzwan telah meminta maaf dalam satu video yang dimuat naik. Namun Khairul Helmi tidak menerima maaf itu yang disifatkan Khairul Helmi tidak ikhlas kerana menutup muka dengan penutup mulut, memakai topi dan cermin mata gelap.
Khairul Helmi mempersoalkan kenapa Ridzwan tidak datang bertemu mereka dan meminta maaf? Kapten Kedah ini memberitahu yang beliau dan beberapa rakan beliau akan meneruskan tindakan perundangan dengan tuntutan ‘kerosakan’ RM200,000.00.
Ini kerana perbuatan Muhamad Ridzwan itu membuatkan kredibiliti beliau dalam risiko dan berpotensi hilang kerja kerana tiada pasukan mahu mengambil pemain yang makan suap.
Tidak lama selepas itu, laporan sebuah akhbar tempatan memberitahu yang Muhamad Ridzwan akan tampil berjumpa dengan Khairul Helmi, Nidzam Adzha dan 5 lagi pemain Kedah. Khairul Helmi menyatakan:
“Mai jumpa, kami memang dok tunggu hang.”
“Kami memang hendak sangat berkenalan serta berjumpa dengan dia, justeru hasrat itu kami sambut baik. Datanglah, kami menunggu dan sedia bertemu bila-bila masa.
“Saya rasa tidak sukar untuk dia bertemu kami kerana semua pemain berada di Alor Setar serta menjalani latihan setiap hari. Datang saja ke padang latihan, kami ada di situ.”
“Saya harap, ini bukan cakap-cakap kosong daripada dia kerana selagi dia tidak menemui kami, kes ini tidak akan selesai begitu saja. Kami sudah memberi peluang serta masa yang cukup untuk dia berbuat demikian.”
Khairul Helmi memberitahu beliau tidak pernah menerima mesej daripada Muhamad Ridzwan seperti yang dinyatakannya. Nidzam Adzha pun menyatakan perkara yang sama.
Ini selepas Ridzwan memberitahu sudah menge-tag dan juga menghantar mesej peribadi kepada mereka yang berkaitan. Peguam Nidzam Adzha berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera, kerana anak guamannya sudah memberikan peluang kepada Muhamad Ridzwan untuk membuat permohonan maaf secara peribadi dengan tampil bertemu dengan Nidzam.