Quantcast

LIGA MALAYSIA

Khairul Fahmi Angkat Kaki, Sertai Melaka United?

Liga Super 2017 baru sahaja melabuhkan tirainya pada hujung minggu yang lalu, menyaksikan Kelantan bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Melaka United 3-1 untuk mengesahkan slot terakhir bertanding di Liga Super pada musim hadapan.

Keputusan ini melegakan pihak pengurusan baru yang mengambil alih teraju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), diterajui oleh Bibi Ramjani Ilyas Khan dan penyokong-penyokong setia psukan pantai timur itu.

Gambar: Kamarul Akhir/Asiana

Namun demikian, perkhabaran penjaga gol utama mereka sejak beberapa musim, Khairul Fahmi Che Mat akan berhijrah ke Melaka pasti akan menjadi sesuatu yang menggusarkan.

Apatah lagi KAFA sedang merancang dan mengemaskini pentadbiran dan pasukan yang mereka miliki untuk saingan pada musim hadapan.

Lewat malam tadi, Berita Harian menyiarkan satu berita mengatakan Melaka United akan menawarkan kontrak kepada penjaga gol berpengalaman dan skuad negara, Khairul Fahmi bagi memperkasakan skuad negeri Hang Tuah itu untuk sainga pada musim hadapan.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh pengurus Melaka United Soccer Association (MUSA), yang menganggap Khairul Fahmi masih lagi salah seorang penjaga gol terbaik di dalam kancah Liga Malaysia.

STR/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

Musim ini Melaka United adalah pasukan yang memiliki rekod paling kerap dibolosi iaitu sebanyak 46 kali. Walaupun berjaya kekal di saingan Liga Super dengan menduduki tangga ke-8 pada kempen musim ini, ia adalah indikasi jelas skuad Melaka United memerlukan seorang penjaga gol berpengalaman pada musim hadapan.

Ura-ura bekas penjaga gol Harimau Muda itu untuk menyertai Melaka United buka perkara baru. Khairul Fahmi turut dikaitkan akan ke Stadium Hang Jebat sebelum sepak mula saingan Liga Super 2017.

Namun demikian difahamkan Melaka United tidak meneruskan niat membawa Khairul Fahmi menyertai mereka disebabkan kekangan bajet, sebelum menyandarkan posisi penjaga gol kepada 4 penjaga gol muda untuk Liga Super 2017.

Berita Harian turut melaporkan beberapa lagi tongak utama pasukan Kelantan turut berada di bawah radar pengurusan Melaka untuk saingan pada musim khadapan.

Yusoff Mahadi dipetik sebagai berkata: “Namun semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan dengan lebih lanjut. Malah ia juga perlu ada dalam perancangan jurulatih Eduardo Almeida untuk menyenaraikan pemain yang dimaksudkan,” katanya.

Khairul Fahmi ketika ditanya mengenai masa hadapannya turut mengesahkan beliau kini terbuka untuk mempertimbangkan sebarang tawaran untuk saingan pada musim hadapan, termasuklah daripada Melaka United.