Penjaga gol berpengalaman negara, Khairul Fahmi Che Mat mengakui beliau masih memiliki impian untuk mencapai kejuaraan bersama pasukan diwakilinya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kini, Sabah.
Khairul Fahmi menjadi antara pemain paling berpengalaman kini di Sabah dan keupayaannya selaku penjaga gol The Rhinos masih lagi konsistens walaupun umur beliau semakin meningkat.
Musim lalu menyaksikan beliau diberi peluang beraksi sebanyak 21 perlawanan secara keseluruhan bersama aksi ditampilkan masih tangkas di hadapan gawang gol.
Walaupun pasukan itu masih memiliki rantaian penjaga gol lebih muda, namun Khairul Fahmi masih dapat mencuri peluang untuk membuktikan umur 35 tahun hanya sekadar suatu angka.
Bakal memasuki musim baharu bersama Sabah, pastinya Khairul Fahmi mempunyai sasaran tersendiri selaku pemain untuk meraih sesuatu yang positif di pentas domestik.
Walaupun menyedari saingan hadapan bakal memberi suatu persaingan lebih sengit jika dilihat pada persiapan kelab-kelab lain, Khairul Fahmi tetap mengimpikan kejuaraan buat pasukan tersebut.
Apatah lagi ini menjadi musin ketiga buat pemain kelahiran Kelantan itu bersama Sabah, dan sudah tentu beliau mahu sekurangnya satu kejayaan dapat dilakar pasukan tersebut musim 2024/2025.
Malah, beliau turut melihat kejayaan mereka di pentas AFC musim lalu sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan setelah Sabah berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati peringkat Zon Asean.
“Bagi saya sendiri, walaupun kita tidak dapat ke peringkat seterusnya, tapi untuk sekian lama pasukan Sabah tidak bermain di Piala AFC, saya rasa itu adalah satu prestasi yang boleh dibanggakan.” jelas beliau menerusi perkongsian Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Melihat kepada saingan akan datang, Khairul Fahmi mengakui Sabah tidak membuat begitu banyak rombakan jika dibandingkan persiapan dilakukan pasukan lain.
Langkah dibuat itu jelas dianggap sebagai sesuatu yang baik buat Khairul Fahmi, apatah lagi Datuk Ong Kim Swee bersama pengurusan kelab berjaya mengekalkan ramai pemain musim lalu untuk saingan hadapan.
Malah, bekas penjaga gol Harimau Malaya itu melihat persiapan dibuat Sabah berada pada prestasi terbaik dan tidak sabar memulakan musim baharu bersama kelab itu.
“Saya rasa ia merupakan satu kebaikan untuk pasukan sebab tidak ramai pemain yang akan keluar dan masuk,” kata beliau akhir sekali mengenai persiapan semasa Sabah.