Quantcast

BERITA

Khairul Amri Semakin Hampir Sarung Jersi FELDA United

Semalam, media tempatan melaporkan penyerang kelahiran Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal menjadi sasaran dua pasukan Liga Super iaitu FELDA United dan Perak untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan mereka.

Namun, pemain yang berusia 34 tahun itu dilihat memilih untuk menyertai FELDA United berdasarkan perjanjian lisan antara kedua-dua pihak dan beliau dijangka tiba esok atau lusa untuk menandatangani kontrak secara rasmi.

Pengendali skuad The Fighters, Nidzam Jamil berharap dapat menggunakan khidmat pemain itu menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Sabtu ini.

“Felda terdesak untuk mendapatkan penyerang yang bagus. Secara dasarnya, Khairul Amri sudah bersetuju dengan surat tawaran Felda.

“Insya-Allah kami akan cuba selesaikan kontraknya dalam tempoh sehari dua ini,” kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman dalam Stadium Astro.

FOTO: Tampines

Khairul Amri yang kini beraksi untuk kelab Tampines Rovers dalam saingan Liga Singapura merupakan seorang pemain yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan mempunyai 130 kaps bersama skuad kebangsaan Singapura.

Sepanjang mewakili negaranya, beliau telah merekodkan 37 gol dan menjuarai Piala AFF sebanyak tiga kali. Pada tahun 2015, beliau membantu skuad Lions XII menjuarai Piala FA buat pertama kali dalam sejarah.

Walaupun tiada pengesahan rasmi daripada Perak yang dikhabarkan turut memancing Khairul Amri, pihak FELDA United berharap beliau dalam membantu mengatasi masalah ketumpulan penyudah dalam perlawanan yang akan datang.

“Secara dasarnya, dia telah menerima syarat dan terma kami. Jadi, kalau dia hadir esok, kami akan terus menandatangani kontrak.

“Kami faham Perak juga memerlukan penyerang yang baik, saya harap Khairul Amri akan kekal (dengan janjinya untuk menyertai kami),” tambahnya.