Wira pasukan Northern Lions FC (NLFC)-MAHSA ketika menumpaskan Harini FC tempoh hari, Khairul Afandi Azaimi tekad mahu menampilkan persembahan lebih baik pada aksi pusingan kedua Shopee Piala FA Malaysia 2020, pertengahan Mac nanti.
Jaringan tunggal Khairul Afandi pada minit ke-27 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang itu sudah cukup untuk mengemudi kelab tersebut untuk berdepan wakil dari Liga Premier, PDRM di peringkat seterusnya.
Pemain tengah itu juga turut mencetak nama selaku penjaring gol pembukaan ketika NLFC-MAHSA menewaskan Kerteh FC 2-0 pada peringkat kelayakan yang berlangsung di Terengganu.
Meskipun sedar PDRM bukanlah calang-calang pasukan, Khairul Afandi yang juga merupakan bekas pemain skuad futsal Kedah dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 melihat ia tidak akan meruntuhkan semangat para pemain NLFC-MAHSA.
”Pertamanya saya tidak menduga jaringan yang dihasilkan membawa pasukan kami ke pusingan kedua. Apatah lagi kami berdepan Harini FC yang dibarisi pemain berpengalaman dan juga turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain import.”
”Rezeki nyata menyebelahi kami, Alhamdulillah atas semangat juang tinggi dipamerkan membolehkan kami mara ke pusingan berikutnya dan pengalaman berharga juga bakal diraih kerana telah diundi bertemu PDRM,” ujar pemain berusia 25 tahun itu.
”PDRM merupakan pasukan yang cukup berpengalaman dalam kancah bola sepak tanah air tetapi ia tidak bermaksud kami akan memberikan laluan mudah buat mereka. Semua pemain pasti akan memberikan yang terbaik sekiranya diturunkan.”
”Secara peribadi, saya juga mengharapkan agar dapat mempamerkan persembahan yang lebih baik untuk perlawanan ini, kerjasama rakan pasukan juga amat diperlukan dalam usaha kami untuk mara lebih jauh lagi.”
Ia semua adalah bagi mengembalikan semangat penyokong ‘Singa Utara’. ”
Kredit foto: Northern Lions FC (NLFC)-MAHSA