Khabar Nafuzi Zain Akan ‘Bertukar Angin’ Tak Benar, Sengaja Dicetus Oleh ‘Parasit’

Nafuzi Zain Terengganu Perak Liga Super 2021 rezeki

Pihak pengurusan Terengganu FC tampil membuat penjelasan berhubung khabar angin Nafuzi Zain bakal berkelana ke pasukan lain adalah tidak benar dan surat tunjuk sebab yang diberikan hanyalah proses biasa.

Ia adalah bagi membolehkan pihak pengurusan memantau perkembangan terkini pasukan daripada jurulatih tentang prestasi pasukan yang tampak sedikit terjejas sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Terengganu tewas dua perlawanan berturut-turut, bermula dengan kekalahan 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC dan diikuti 0-1 kepada KL City. Ketika itulah surat tersebut dikatakan telah diberikan kepada Nafuzi Zain.

Terengganu tewas lagi pada Sabtu, kecundang 0-1 kepada juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketika inilah pihak media bertanyakan tentang surat tunjuk sebab yang dikhabarkan telah diterimanya sebelum berdepan JDT. “Itu saya tidak nafikan [terima surat tunjuk sebab],” jawabnya kepada pihak media.

“[Ia diterima] Selepas sesi latihan petang semalam untuk aksi malam ini. Bagi saya, itu normal dengan kekalahan dua perlawanan berturut-turut. Ya, saya ambil tanggungjawab [atas kekalahan],” tegasnya lagi.

Baginya, itu lumrah dalam bola sepak apabila prestasi pasukan kurang menjadi, tentunya pihak pengurusan akan meminta penjelasan daripada bahagian kejurulatihan mengenai situasi pasukan pada ketika itu.

Begitupun, menambah sensasi dengan persoalan media itu adalah mengenai satu posting daripada sebuah agensi ejen bola sepak, Joe Estrada Sports Agency yang turut melibatkan jurulatih berusia 42 tahun itu.

Here we come for the new challenge!!! All The best coach Nafuzi,” titip Joe Estrada di Instagram Story agensi tersebut sambil meninggalkan persoalan seolah-olah hala tuju pengendali tersebut selepas ini.

“Pantai Timur? Lembah Klang? Utara? Borneo? Selatan?” persoalan yang ditinggalkan oleh Joe Estrada yang jelas menimbulkan perdebatan hangat di media sosial sehingga timbul cerita Nafuzi Zain akan direhatkan.

Menurut penjelasan pengurusan Terengganu di laman Facebook, “Pihak pengurusan ini memandang serius berkenaan perkara ini kerana ianya sengaja digembar gemburkan bagi menjejaskan fokus pasukan ini.”

“Namun pihak pengurusan ingin menegaskan dan memohon semua pihak faham, surat tersebut adalah tindakan kerja biasa dibuat secara bertulis yang dilakukan pihak pentadbir kelab kepada pengendali pasukan.

“[Ia] bagi mengetahui sebab-sebab kenapa prestasi semasa yang dilihat kurang memuaskan untuk beberapa perlawanan terakhir dan ianya juga merujuk kepada aras pencapaian pasukan yang telah ditetapkan bersama untuk saingan liga musim ini,” menurut penjelasan itu lagi sambil menafikan Nafuzi Zain akan ‘berhijrah’.

Bagi pihak penyokong pula, Ultras Tranung (UT) jelas mengkritik tindakan Joe Estrada yang dikatakan cuba memecah-belahkan keharmonian skuad kendalian Nafuzi Zain di saat Liga Super menuju ke aksi terakhir.

Melabelkan Joe Estrada sebagai parasit, mereka menggesa pihak pengurusan agar tidak membenarkan ejen tersebut mendekati pasukan. Mereka juga memberi amaran keras kepada Joe Estrada agar menjauhkan diri.

Ketika ini, menuju ke perlawanan terakhir, Terengganu dalam persaingan tiga penjuru bersama Kedah dan Penang FC untuk kedudukan kedua Liga Super yang bakal menjamin tiket ke saingan Piala AFC 2022.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN